SINGAPURA: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew mengadakan lawatan kerja ke negara ini bagi mempromosikan Chanteek Borneo.
Beliau berada di negara berkenaan untuk menghadiri Borneo Fest 2024 yang diadakan di Marina Square, di sini baru-baru ini.
“Saya memperkenalkan anda, Anne Antah, pereka tekstil Sabah dan juga Pengasas kepada Chanteek Borneo.
“Kita membawa beliau dari Sabah ke festival ini bagi memperkenalkan hasil-hasil rekaan dan aksesori yang boleh dipakai oleh golongan wanita dan lelaki,” katanya ketika dalam festival berkenaan.
Katanya, Sabah negeri kedua terbesar di Malaysia yang terdiri daripada 35 kumpulan etnik dan 217 sub etnik.
Menurutnya, Anne adalah berketurunan Sino-Kadazan dan telah mencipta nama menerusi produk yang dikeluarkan.
Anne ketika ditemui berkata, beliau membawa beberapa produk fesyen untuk dipasarkan dalam festival berkenaan.
Katanya, maklum balas daripada pengunjung ke gerai beliau sangat memberangsangkan.
“Rakyat Singapura sangat suka dengan kepelbagaian warna, walaupun cetakan tekstil berkenaan bermotifkan etnik.
“Mereka juga bertanya bagaimana untuk mendapatkan produk ini di Singapura dan adakah saya akan menyertai ekspo seterusnya di sini,” katanya. – Utusan Borneo