KOTA KINABALU: Jawatan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah mungkin bakal menyaksikan perubahan sekali lagi dalam masa terdekat, dengan bekas Pengerusi PH Sabah, Datuk Seri Christina Liew, disebut-sebut berpotensi untuk kembali memegang jawatan tersebut sekiranya perbincangan yang sedang berlangsung memberikan hasil positif.
Christina, yang juga Ketua PKR Api-Api, bagaimanapun menyatakan bahawa proses ini masih dalam peringkat perbincangan. Beliau turut mendedahkan bahawa perkara ini telah dibincangkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa Kongres PKR di Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Proses sedang berjalan. Kami berbincang dengan Presiden dan Biro Politik. Jadi, bersabar sahaja. Semuanya akan selesai,” katanya selepas menghadiri majlis makan malam bersama Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, pada malam Khamis.
Christina sebelum ini tewas dalam pemilihan Pengerusi PH Sabah pada 1 Disember lalu, apabila Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, memenangi jawatan tersebut dengan kelebihan tiga undi. Tempoh jawatan Ewon dijadualkan sehingga 2026. Namun, terdapat pandangan bahawa jawatan ini sepatutnya dipegang oleh PKR berdasarkan agihan kouta.
Sementara itu, Nik Nazmi dalam ucapannya menyeru agar PKR Sabah meningkatkan persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri yang dijadualkan selewat-lewatnya pada September 2025.
“Keutamaan PKR adalah memastikan kestabilan politik, memandangkan kita menerajui kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri. Dalam tempoh 10 bulan akan datang, memperkukuhkan jentera pilihan raya adalah sangat penting. Tidak ada gunanya memenangi pilihan raya parti jika kita kalah dalam pilihan raya negeri,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa PKR adalah parti nasional yang memperjuangkan politik pelbagai kaum dan menekankan komitmen untuk menangani kemiskinan serta isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Tiada kerajaan yang berjaya menyelesaikan MA63 sepenuhnya, tetapi kerajaan Madani telah membuat kemajuan,” tambah beliau.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Naib Presiden PKR Sabah, Datuk Peto Galim, dan Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin.