Christina gesa Sabah diberi kuasa lulus, keluarkan pelbagai jenis pelesenan pelancongan

christina.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa memberi kuasa kepada Sabah bagi meluluskan dan mengeluarkan pelbagai jenis pelesenan pelancongan di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew yang membuat gesaan itu berkata, langkah itu wajar bagi mempercepatkan proses permohonan lesen.

Menurutnya, beliau telah menerima aduan daripada pemohon mengenai kelewatan dalam meluluskan permohonan pelesenan pelancongan dan mengeluarkan lesen untuk penggiat pelancongan di Sabah oleh Kementerian Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Sehubungan itu, saya ingin mengulangi gesaan saya kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberi kuasa kepada Sabah bagi meluluskan dan mengeluarkan pelbagai jenis pelesenan pelancongan.

“Saya telah menerima aduan daripada pemohon bahawa permohonan mereka untuk mendapatkan lesen baharu atau pembaharuan lesen sedia ada mengambil masa lama untuk diluluskan oleh MOTAC,” katanya.

Ujarnya lagi beliau juga dimaklumkan apabila ada antara pemohon membuat pertanyaan di Pejabat MOTAC Sabah, mereka diberitahu supaya menghubungi Putrajaya secara terus.

Christina berkata demikian dalam satu kenyataan pada Khamis, susulan kunjungan hormat delegasi Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) , Sabah Chapter, semalam.

Kunjungan delegasi itu terdiri daripada Pengerusi MCTA Sabah Chapter Vincent Sia, Naib Pengerusi Amity Wong, Bendahari Jimmy Wong Kui Hiung dan Ahli Jawatankuasa Julie Wong.

Delegasi tersebut turut menjemput Christina melancarkan Pameran Malaysia International Travel Mart (MITM) pada 19 Ogos ini di Suria Sabah, di sini.

Dalam taklimatnya, Jimmy, yang juga Pengerusi Penganjur, berkata kali terakhir MCTA menganjurkan Pameran MITM adalah pada 2019, selepas itu ia dihentikan kerana pandemik Covid-19.

“MITM kali ini akan menampilkan kira-kira 49 gerai pameran yang antara lain akan disediakan oleh ahli MCTA dari Sabah, Pulau Pinang, Selangor, Perak, Labuan, Sarawak dan Negeri Sembilan.

“Kami juga akan memperuntukkan gerai untuk pengusaha pelancongan berasaskan komuniti, termasuk dari Kiulu dan Tambunan, untuk mempamerkan produk pelancongan luar bandar mereka,” katanya.

Menurut Jimmy, Pameran MITM adalah platform untuk mempromosikan pelancongan masuk dan keluar, dengan penyertaan pemain pelancongan dari Semporna, Tenom, Kuala Penyu dan Kudat.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top