Christina Gesa Penjaja Dan Masyarakat Sabah Utamakan Kebersihan

christina.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Peniaga dan masyarakat dinasihatkan sekali lagi agar memastikan kebersihan tapak menjaja pada setiap masa agar tidak menjejaskan imej negeri dan bandaraya ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, usaha itu selaras dengan misi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk menjadikan ibu negeri ini Bandaraya Bersih, Hijau dan Berdaya Huni.

“Saya difahamkan bahawa DBKK telah mengambil pelbagai inisiatif bagi memulihara dan meningkatkan kebersihan bandaraya melalui program-program alam sekitar seperti Kempen Bersih dan Hijau, Kempen Bawa Beg Bah dan menggalakkan penggunaan kotak makanan mesra alam di tapak-tapak jaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Api-Api Night Food Market Blok C dan D di Jalan Gaya, kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api itu juga berharap dengan pembukaan lot baharu tapak jaja itu akan memberi impak yang baik kepada pelancongan Sabah dan khasnya kepada Bandaraya ini.

“Seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi Sabah dengan menjadi tumpuan masyarakat tempatan untuk mendapatkan barangan keperluan di samping tempat beriadah bersama keluarga tersayang.

“Saya percaya bahawa Pasar Malam Api-Api ini akan menjadi destinasi untuk penduduk tempatan dan pelancong menikmati bermacam-macam jenis juadah makanan tradisi dan buah-buahan tempatan.

“Perkara ini senonim dengan Sabah yang sememangnya kaya dengan budaya dari pelbagai suku kaum,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, Christina turut menyumbangkan 54 tong sampah kepada 54 penjaja di tapak blok C dan D yang baharu dibuka.

Dalam pada itu, Datuk Bandar DBKK Datuk Noorliza Awang Alip turut menjelaskan tamu malam seumpamanya bakal dibuka di sepanjang sungai Sembulan di Sadong Jaya dalam masa terdekat.

Katanya, usaha itu sudah pasti mampu mempelbagaikan daya tarikan di bandaraya ini kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa. – Harapan Madani

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top