Christina Gesa Bentang Dan Luluskan RUU Gangguan Seksual

Christina-Liew.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Bentang dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual perlu dijadikan antara keutamaan apabila Parlimen bersidang semula.

Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew berkata, perbincangan mengenai RUU itu sudah lama tertangguh. Malaysia pula kini ketinggalan jauh negara-negara lain dalam undang-undang mengenai gangguan seksual ini.

Katanya, Kerajaan mempunyai komitmen tinggi untuk melindungi hak asasi wanita tetapi undang-undang mengenainya masih kurang.

“Jangan lagi menunda perkara ini, Kerajaan Persekutuan perlu melakukan yang terbaik untuk melindungi golongan wanita dalam negara ini dengan meluluskan RUU terbabit.

“RUU berkenaan nanti sudah pasti mampu melindungi persekitaran wanita dari segi keselamatan sama ada di tempat kerja atau di kawasan awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan terjadinya jenayah gangguan seksual terhadap peserta Unduk Ngadau 2021 baru-baru ini.

Katanya, difahamkan menerusi laporan dalam media sosial, kejadian seumpamanya semakin meningkat ketika tempoh pandemik ini.

“Ramai dalam kalangan wanita telah menjadi mangsa kepada pelaku yang tidak bertanggungjawab tetapi tidak berani untuk melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa disebabkan rasa malu,”katanya.

Beliau berkata, formula RUU Gangguan Seksual itu telah dibentuk sejak pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Katanya, RUU itu kemudian dikemas kini oleh pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Bagaimanapun katanya, setelah peralihan kerajaan pada Februari tahun lalu, RUU berkenaan belum lagi sempat dibincang untuk diluluskan dalam Parlimen.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Julai 2020 pernah mengumumkan bahawa RUU terbabit akan dibincangkan pada tahun berkenaan juga,” katanya.

Christina turut dimaklumkan bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa kes seumpamanya di Sabah telah dilaporkan oleh mangsa kepada Soroptimist International Kota Kinabalu (SIKK) yang diketuai oleh Aktivis Hak Wanita Hanaa Wong Abdullah. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top