BEIJING: China sudah bersedia untuk mengukuhkan hubungan kerjasama dengan Afghanistan, selepas Taliban menguasai negara itu sepenuhnya semalam.
Beijing sebelum ini sentiasa berusaha mengekalkan hubungan tidak rasmi dengan Taliban sepanjang pengunduran tentera Amerika Syarikiat (AS) dari negara itu.
China berkongsi kira-kira 76 kilometer kawasan sempadan dengan Afghanistan.
Beijing juga sebelum ini menzahirkan kebimbangan sekiranya Afghanistan menjadi ‘titik tolak’ kebangkitan kumpulan pemisah etnik Uighur di Xinjiang.
Bagi mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara, China menawarkan sokongan ekonomi dan pelaburan untuk pembangunan semula Afghanistan.
Jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying berkata, China menyamnut baik usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan Afghanistan.
“Taliban sendiri berulang kali menzahirkan harapan mereka untuk menjalin hubungan baik dengan China dan mereka juga bersetuju dengan tawaran yang dibuat oleh China.
“China sentiasa menghormati hak rakyat Afghanistan untuk mencapai kemerdekaan mereka sendiri dan bersedia membantu mereka sehingga semua menjadi baik,” katanya.
China turut menggesa Taliban supaya melakukan peralihan kuasa yang lancar dan adil, selain perlu mengotakan janji untuk membangunkan kerajaan Islam yang terbuka dan berkesan. – AFP