KOTA KINABALU: China, Brunei, Indonesia dan Filipina menyumbang kepada jumlah pengunjung antarabangsa tertinggi ke Sabah untuk lapan bulan pertama tahun ini dengan 586,501 ketibaan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata ini merupakan peningkatan yang besar berbanding tahun lepas, kerana jumlah ketibaan bagi sepanjang 2023 dari empat negara tersebut ialah 427,077.
Katanya, berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Sabah, jumlah pelancong asing telah meningkat secara drastik dalam tempoh lima tahun sejak 2020, khususnya dari China, Brunei, Indonesia dan Filipina,
“Sudah tentu, kita boleh menjangkakan angka ketibaan pelancong asing dari empat negara ini akan meneruskan aliran menaik menuju ke penghujung tahun.
“Peningkatan ini adalah trend positif dalam membangunkan ekonomi negeri dan saya berharap dapat melihat peningkatan dalam ketibaan pelancong dari negara lain juga.
“Kemudahan kedatangan pelancong termasuk pelabur asing datang ke Sabah, telah dipermudahkan oleh hubungan baik dan sistem tadbir urus antara kerajaan negeri Sabah dan Jabatan Imigresen dalam memastikan proses imigresen yang cekap,” katanya semasa berucap pada Majlis Apresiasi Serumpun Kasih Seluhur Budi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam tadi.
Hajiji percaya kemudahan kemasukan ke negeri ini termasuk permohonan pas perjalanan, mempamerkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan persekitaran kondusif dan mesra perniagaan selain menarik pelancong.
Beliau berkata saiz Sabah memberi cabaran kepada Jabatan Imigresen dalam mengendalikan kemasukan ke negeri ini, menekankan bahawa komitmen dan dedikasi semua kakitangan diperlukan dalam mengendalikan 11 pintu masuk ke Sabah.
“Pada masa yang sama, Sabah bersempadan dengan beberapa negara, termasuk ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, sekali gus terdapat keperluan untuk meningkatkan aspek keselamatan rentas sempadan,” tegasnya sambil menambah dua kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) telah diluluskan seperti yang diumumkan tahun lepas.