Chan Pertahan Prestasi Liew

chan-n-liew.jpg

Chan (kiri) dan Liew.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Chan Foong Hin mempertahankan prestasi ahli parlimen Tawau Datuk Christina Liew.

Chan berkata kenyataan Ketua Pemuda DAP Tawau Thien Ee Hang baru-baru ini yang mempersoalkan mengenai kehadiran Liew dalam persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri hanyalah komen peribadi beliau dan tidak mewakili pendirian DAP.

Beliau juga mengingatkan golongan muda dalam parti bahawa prestasi seseorang pemimpin bukan dinilai semata-mata daripada kehadiran mereka (dalam persidangan).

“Pemimpin Pejuang Tun Dr Mahathir hanya menghadiri 26 hari daripada 71 hari bersidang, manakala Presiden Warisan Shafie Apdal hanya hadir 20 hari. Ini tidak menjejaskan kepimpinan mereka dalam parti masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Chan juga menegaskan bahawa Liew dan pasukannya telah menunjukkan prestasi kerja yang baik dengan memberi contoh bagaimana Ketua PKR Sabah itu menghantar bantuan kepada kira-kira 700 mangsa kebakaran di Tawau baru-baru ini.

Katanya, sepanjang tempoh pandemik pula, Liew dan pasukannya telah mengedarkan ribuan bantuan makanan, sanitiser dan topeng muka.

Bagaimanapun, Chan memuji Thien kerana keberaniannya memberikan kritikan membina.

“Thien masih muda dan dia masih perlu banyak belajar daripada Ahli Parlimen Tawau.

“Tetapi keberanian beliau untuk menyuarakan kritikan membina adalah sifat yang baik,” katanya.

Liew sebelum ini berkata adalah tidak wajar bagi Thien untuk “menyerang”nya di media.

Katanya, beliau boleh menerima kritikan membina tetapi kritikan Thien tidak wajar kerana DAP dan PKR adalah parti komponen dalam Pakatan Harapan Sabah, di mana beliau adalah pengerusinya.

Sementara itu Chan menggesa semua pemimpin Pakatan Harapan (PH) bersatu dan memberi tumpuan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan mengekalkan semua kerusi PH.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top