KOTA KINABALU: Seorang penganggur memberitahu Mahkamah Majistret di sini dia mendapat hidayah yang mengarahkannya memecahkan pintu Istana Negeri dan mengambil alih tugas sebagai Yang di-Pertua Negeri.
Rio Fazzley Rahmat, 33, didakwa menceroboh Istana Negeri dan memecahkan lima pintu awal tahun ini.
Dia hanya mengaku bersalah atas tuduhan melakukan khianat dengan memecahkan pintu berkenaan pada 1 tengah hari 21 Jan lalu.
Sebaliknya, Rio mengaku tidak bersalah atas tuduhan menceroboh kerana mendakwa mempunyai pas pelawat yang dikeluarkan pihak keselamatan istana, yang membenarkannya memasuki pekarangan istana.
Mahkamah Majistret juga dimaklumkan bahawa Rio mengakibatkan kerosakan dianggarkan bernilai RM18,400 semasa kejadian.
Apabila ditanya Majistret Jessica Ombou Kakayun alasannya memasuki istana, Rio berkata, dia berbuat demikian supaya boleh menjadi Yang di-Pertua Negeri, setelah mendapathidayah” untuk memecahkan pintu istana.
Pada ketika ini, Rio mengangkat sebuah beg plastik berisi ubat-ubatan untuk menunjukkan kepada mahkamah bahawa dia sedang menerima rawatan di sebuah hospital sakit jiwa di sini.
Bagaimanapun, ini segera disangkal pihak pendakwaan yang mengemukakan laporan psikiatri dari hospital terbabit yang menyatakan bahawa Rio layak untuk dibicarakan.
Kakayun kemudian menangguhkan kes itu hingga 21 Jun sehingga supaya Rio boleh mendapatkan khidmat peguam dari biro bantuan guaman.
Dia dibebaskan dengan ikat jamin RM1,000 dengan dua penjamin atas setiap pertuduhan.
Terdahulu, semasa mengemukakan fakta kes bagi tuduhan khianat, Pegawai Pendakwa Albert Basiri memberitahu mahkamah bahawa seorang individu, yang kemudian dikenal pasti sebagai Rio, menunggang motosikal ke istana melalui pos gerbang.
Beliau berkata, seorang anggota polis bertugas memberi Rio pas lawatan setelah Rio memberitahunya dia adalah kakitangan baharu Istana Negeri.
Bagaimanapun, apabila sampai di pintu utama istana, Rio menendangnya sehingga pecah.
Dia kemudiannya menendang lima pintu lain selepas masuk ke bangunan istana.
Mahkamah dimaklumkan, seorang pekerja istana kemudian menjumpai Rio sedang duduk di atas sofa sebelum dia diberkas dan diserahkan kepada polis.
Rio, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan, dengan alasan isterinya menganggur dan mereka mempunyai lima anak.
Katanya, dia juga telah memohon khidmat bantuan guaman.
Mahkamah membenarkan permohonannya dan menetapkan tarikh baharu, dengan pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan. – FMT