KOTA KINABALU: Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Negeri Sabah memberikan sokongan penuh kepada Datuk Verdon Bahanda sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Sabah Football Club (Sabah FC).
Presidennya, Datuk James Wong, dalam satu kenyataan kepada media hari ini, percaya bahawa Verdon adalah orang yang tepat untuk memimpin Sabah FC dan membawa yang terbaik kepada kelab itu.
“Bagi pihak Persatuan Pemain Bola Sepak Negeri, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Verdon atas pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC.
“Pandangan pertama saya tentang beliau, setelah melakukan perbincangan mendalam baru-baru ini, adalah beliau seorang yang komited sepenuhnya terhadap pekerjaannya dan mempunyai visi yang hebat untuk menghasilkan yang terbaik dari Sabah FC,” kata legenda bola sepak negeri dan kebangsaan itu.
Wong meminta semua pihak, termasuk penyokong, bersabar dan memberi waktu kepada Verdon melaksanakan visinya untuk Sabah FC.
“Kejayaan tidak dicapai dalam semalaman dan akan ada rintangan di sepanjang jalan. Tetapi, saya percaya dengan orang yang komited dan betul bekerja dengannya, perkara itu dapat dicapai.
“Beliau mesti diberi cukup waktu, katakan tiga hingga lima tahun untuk memenuhi cita-citanya.”
Wong juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC kerana melantik jurulatih berpengalaman, Justin Ganai, yang merupakan ahli Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Negeri, sebagai pengarah teknikal untuk Sabah FC.
Beliau berkata, persatuan dengan lebih 100 anggota itu sentiasa bersedia untuk menghulurkan tangan dan menawarkan khidmatnya untuk pembangunan bola sepak Sabah.