CENTHRA gesa henti pengusiran Bajau Laut

roboh-bajau-laut.jpg

Imbas kembali: Tangkap layar video yang dikongsi Borneo Komrad menunjukkan beberapa lelaki sedang merobohkan sebuah rumah.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) menyeru pihak berkuasa untuk menghentikan segera pengusiran dan pemusnahan rumah Bajau Laut, lapor AWANI.

Menurut laporan itu, CENTHRA dalam kenyataannya pada Ahad turut menggesa agar kerajaan menghormati dan melindungi hak Bajau Laut.

Ini termasuk terus melindungi masyarakat Bajau Laut dengan mengiktiraf warisan budaya dan cara hidup mereka yang unik, yang secara sejarahnya berkait rapat dengan wilayah maritim Sabah.

CENTHRA turut menggesa agar memulakan dialog dan perundingan yang bermakna dengan komuniti Bajau Laut, NGO tempatan, pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa dan pihak berkepentingan yang berkaitan. Pendekatan kolaboratif ini penting untuk mencari penyelesaian yang berperikemanusiaan dan mampan dalam menghormati cara hidup dan hak asasi manusia Bajau Laut.

“Selain itu, antara langkah lain yang dapat dilakukan adalah meratifikasi dan mematuhi perjanjian hak asasi manusia antarabangsa utama seperti Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) dan ICESCR untuk mengukuhkan rangka kerja perundangan yang melindungi semua individu dalam sempadan Malaysia.

“Ini dapat membuktikan komitmen Malaysia dalam menegakkan piawaian hak asasi manusia antarabangsa,” kata CENTHRA dalam kenyataan itu.

Sehubungan itu, CENTHRA bersedia untuk membantu kerajaan Malaysia dan pihak berkepentingan lain dalam menangani pencabulan hak asasi manusia melalui advokasi, penyelidikan dan cadangan dasar.

“Kami menekankan keperluan untuk pendekatan berasaskan hak yang mengutamakan maruah dan kesejahteraan masyarakat Bajau Laut dan masyarakat tanpa kerakyatan yang lain.

“Komuniti antarabangsa mesti menyokong usaha untuk memastikan komuniti ini mendapat keadilan dan diberi perlindungan yang sepatutnya,” jelas kenyataan itu lagi.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top