TAWAU: Seorang pemilik restoran dihukum penjara sepuluh tahun dan empat kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya yang didakwa curang
Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Faizal Md Yusuf, 34, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, didenda atau dengan sebat atau kedua-duanya sekali manakala seksyen 326A memperuntukkan hukuman dua kali ganda.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya berusia 32 tahun dengan menggunakan sebatang rotan berukuran 83 sentimeter di Restoran D’Archery Garden, Batu 1 Jalan Kuhara, pada jam 1 tengah hari 6 April lalu.
Awang Kerisnada ketika menjatuhkan hukuman berkata, mahkamah mengambil kira tahap kecederaan mangsa yang amat serius seperti yang terdapat dalam gambar selain fakta kes dan faktor kepentingan awam juga menjadi keutamaan dalam membuat penghakiman.
Tegasnya, tidak kira sama ada betul atau tidak si mangsa (isteri) curang, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tertuduh memukul mangsa dengan begitu teruk sekali.
“Kamu (tertuduh) boleh sahaja membuat laporan polis atau rujuk ke Mahkamah Syariah atau mendapatkan khidmat kaunseling. Perbuatan kamu memukul isteri dengan begitu teruk tidak wajar dilakukan sama sekali,” katanya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan bertindak demikian disebabkan perasaan marah kerana mengesyaki isterinya telah berlaku curang kepadanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaan Raya Mohd Suhaimi Suriana memohon hukuman berat dikenakan mengambil kira tahap keseriusan kecederaan mangsa yang masih lagi mendapatkan rawatan di hospital selain mangsa juga kini berada dalam keadaan trauma.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan hukuman keatas tertuduh berkuat kuasa bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 7 April 2022. – BH Online