CEC beri mandat penuh kepada DAP Sabah untuk kaji kedudukan dalam kerajaan negeri

anthony-loke.jpg

Anthony Loke (gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kepimpinan DAP Sabah diberi mandat penuh oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) untuk mengkaji semula kedudukan mereka dalam kerajaan negeri.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, keputusan itu diambil selepas CEC bermesyuarat di Kuala Lumpur pada malam tadi.

Katanya pada mesyuarat itu Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, memberikan penerangan terperinci mengenai isu dakwaan skandal rasuah yang berlaku di negeri ini.

Kata Loke, CEC menegaskan pendirian DAP bahawa parti itu memang tidak berkompromi dengan segala amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan.

Justeru katanya, DAP menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes tersebut dengan tegas.

Untuk rekod DAP mempunyai empat wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, dengan Phoong berada dalam kabinet negeri itu. Dua lagi rakan DAP dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR dan UPKO masing-masing mempunyai dua dan satu kerusi DUN, manakala Amanah tidak memiliki sebarang kerusi.

Sementara itu Malaysiakini dalam laporannya hari ini memetik sumber DAP Sabah bahawa mereka akan berunding dengan parti lain dalam PH sebelum membuat keputusan sama ada kekal atau tidak dalam kerajaan negeri.

“Kami akan mempertahankan prinsip kami dan kami akan sentiasa mendengar suara rakyat – itu yang paling penting,” kata sumber itu.

Seorang lagi pemimpin DAP dari Semenanjung Malaysia pula berkata tiada sebarang keputusan dibuat untuk parti itu berundur daripada kerajaan Sabah.

“Hubungan dengan kerajaan negeri adalah baik,” kata pemimpin itu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top