Kojasa Mart terus menampakkan impak kehadirannya dalam dunia peruncitan apabila muncul dengan cawangannya yang kedua di Anjung Selera, Teluk Likas.
Majlis pelancaran Kojasa Mart itu disempurnakan Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad (QSB) Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak hari ini.
Kojasa Mart beroperasi di bawah Kojasa Holdings Berhad (Kojasa) yang merupakan anak syarikat milik penuh QSB.
Antara misinya adalah menyediakan barangan keperluan harian pada harga mampu milik kepada pengguna dengan tagline ‘Beli Banyak, Bayar Sikit’.
Cawangan pertama Kojasa Mart dilancarkan bulan lalu oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Masidi Manjun di pusat komersial Suria, Inanam.
Menurut Salleh, lebih banyak Kojasa Mart akan dibuka di Sabah pada tahun akan datang selari dengan hasratnya untuk turut membantu lebih ramai usahawan tempatan memasarkan dan menaikkan lagi produk hasil keluaran tempatan Sabah.