Catuan Elektrik Di Beberapa Daerah Di Sabah Dilaksana Sehingga Julai

elektrik.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

PENAMPANG: Catuan bekalan elektrik membabitkan beberapa daerah di negeri ini akan dilaksanakan sehingga Julai pada tahun ini.

Bharian dalam laporannya hari ini memetik Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya sebagai berkata langkah itu terpaksa diambil pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi mengawal permintaan penggunaan elektrik melebihi had dan sistem grid Sabah.

Menurut Shahelmey, pihaknya difahamkan keadaan cuaca panas melanda negara ketika ini menyebabkan majoriti pengguna menggunakan penghawa dingin di rumah masing-masing secara tidak langsung, penggunaan bekalan elektrik meningkat.

“Ini menyebabkan SESB perlu melakukan catuan bekalan (load-sheeding) untuk mengawal kestabilan grid di Sabah.

“Pada masa sama, SESB sedang melaksanakan tindakan jangka pendek dengan menambah kapasiti bekalan elektrik melalui penambahan jana kuasa mudah alih.”

Beliau dilaporoan berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan ke Pusat Agihan Bekalan Elektrik Sabah di sini, semalam.

Menurut Shahelmey, terdapat sedikit kelewatan dari sudut pelaksanaan perancangan jangka masa panjang bagi mengatasi perkara terbabit.

“Jadi saya merayu kepada pihak terbabit dalam pelaksanaan projek bekalan jana kuasa untuk elektrik di Sabah memberi perhatian serius dan cepat agar ia boleh dilaksanakan,” ujarnya.

Katanya lagi, perkara itu penting kerana ia bukan sahaja mempengaruhi pengguna tetapi juga mempengaruhi penumbuhan ekonomi di Sabah.

Beliau berkata, catuan ini akan dilakukan sehingga bulan Julai depan dan berharap pengguna bersabar.

Tambah beliau, catuan itu juga untuk memastikan semua kawalan bekalan kuasa grid SESB terkawal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini dan semua pengguna menerima bekalan elektrik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mohd Yaakob Jaafar dalam satu sidang media berasingan berkata, pihaknya sudah menempatkan 11 unit jana kuasa mudah alih di seluruh Sabah bagi meningkatkan margin simpanan tenaga elektrik di sistem Grid Sabah.

Selain itu, sebanyak 17 unit jana kuasa mudah alih akan dipasang pada bulan Jun nanti.

Beliau turut menafikan dakwaan, terdapat unsur sabotaj yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik di Sabah.

Katanya, gangguan bekalan elektrik pada hari Selasa dan Rabu lepas adalah berpunca daripada kerosakan tidak terancang terhadap peralatan di Karambunai serta Putatan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top