Carilah Dewan Lain Untuk Penamaan Calon, Desak Ibu Bapa Pelajar MRSM Batu Pahat

MRSM-batu-pahat.jpg

MRSM Batu Pahat (gambar Facebook).

Kongsi Bersama

PARIT SULONG: Selepas membantah penganjuran Karnival Keluarga Malaysia, ibu bapa pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Batu Pahat mahu lokasi penamaan calon yang ditetapkan di situ pada 26 Feb ini diubah ke tempat lain, demikian lapor portal berita FMT.

Mengikut senarai rasmi pusat penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) Johor dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dewan MRSM Batu Pahat dijadikan lokasi penamaan calon untuk kawasan DUN Semerah.

Laporan itu memetik ibu pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Dee berkata, beliau mendesak SPR mengubah lokasi ke dewan terbuka lain dan bukan dalam kawasan sekolah.

“Tiga hari lagi nak SPM ketika penamaan calon itu, carilah dewan lain di Parit Sulong dan Batu Pahat banyak dewan terbuka dibina menggunakan duit rakyat, manfaatkan sepenuhnya.

“Karnival KPT dah pun diadakan yang tak sepatutnya dibuat dalam MRSM ini, jangan sebab PRN dan politik, persiapan anak-anak kami untuk SPM terganggu,” katanya kepada FMT.

Seorang lagi ibu pelajar hanya mahu dikenali sebagai Li berkata, lokasi dan masa untuk dewan MRSM Batu Pahat itu dijadikan lokasi penamaan calon amat tidak masuk akal.

“Sekolah baru saja tamat kuarantin disebabkan terdapat kes jangkitan Covid-19 dan anak saya turut didapati positif, ini pula (penamaan calon) sudah hampir dengan peperiksaan SPM.

“Saya tak persoalkan kakitangan kerajaan yang terikat atau orang politik nak berpolitik, tapi janganlah sampai prejudiskan keselamatan dan waktu persediaan anak-anak kami yang baru saja terkesan akibat dikuarantin,” luahnya.

Menurut FMT pihaknya telah menghubungi SPR untuk mendapatkan reaksi mereka mengenai desakan daripada ibu bapa.

Terdahulu, portal yang sama melaporkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dikritik susulan menganjurkan Karnival KPT Keluarga Malaysia di MRSM Batu Pahat.

Karnival bermula 17 Feb hingga hari ini mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa memandangkan anak mereka baru saja selesai menjalani kuarantin kerana terdapat kes positif Covid-19 pada 12 Feb lalu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top