Campur Tangan Politik Ganggu Tugas Polis – Bekas KPN

Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pasukan polis akan “hilang taring” jika budaya campur tangan ahli politik dalam urusannya berterusan.

Beliau mengakui campur tangan politik dalam polis berlaku sejak sekian lama dan turut mengganggu operasi pasukan keselamatan itu.

Katanya, ada juga dalam kalangan ahli politik cuba mengawal pihak berkuasa dengan mengeluarkan arahan secara terus kepada pegawai operasi tanpa pengetahuan KPN.

“Ketika zaman saya dahulu, ada orang politik yang suruh polis bebaskan geng mereka dan ada juga yang beri arahan kepada ketua polis negeri tanpa pengetahuan saya.

“Campur tangan politik ini berlaku membabitkan operasi sehingga ia boleh menyebabkan proses siasatan terganggu,” katanya dilaporkan Mingguan Malaysia.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyalahgunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam urusan polis, termasuk menyekat pertukaran pegawai polis bermasalah.

Sementara itu, Musa berkata, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk melaksanakan cadangan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dipengerusikan individu lain, selain menteri.

“Ia tertakluk dalam Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan dan perlu dipinda, sekiranya tidak mahu menteri menjadi pengerusi.

“Tetapi perlu diingat, tiada pihak yang mempunyai kuasa mutlak apabila membabitkan urusan pertukaran dan pelantikan pegawai dalam perkhidmatan PDRM.

“Pengerusi SPP sendiri boleh memberi kuasa perwakilan kepada KPN untuk melantik atau menukar mana-mana pegawai atasan, sekiranya perlu berbuat demikian.”


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *