KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah belum membincangkan nama calon sesuai untuk dilantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari negeri ini jika gabungan itu menang secara dominan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
BH Online dalam laporannya semalam memetik Timbalan Pengerusi BN Sabah, Datuk Yakub Khan, sebagai berkata berkata paling penting jawatan itu yang dicadangkan dalam manifesto PRU15 untuk Sabah perlu mempunyai kuasa diperlukan dalam membawa perubahan kepada negeri ini dan bukan sekadar perhiasan.
“Pada program Gelombang Biru BN di Kimanis minggu lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan untuk mewujudkan tiga jawatan TPM iaitu dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
“Bagi saya secara peribadi perkara ini sangat baik, hanya yang kita harapkan supaya jawatan TPM itu mempunyai kuasa dan bukan sekadar perhiasan,” katanya selepas merasmikan Program Digitasi Rekod Mahkamah Anak Negeri Sabah, di sini, pada Jumaat.
Menurut BH Online, Yakub yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas adakah nama calon TPM yang dicadangkan itu sudah dipilih jika jawatan itu diwujudkan nanti.
“Kita memang bersetuju dan mengalu-alukan cadangan pelantikan TPM dari Sabah, bagaimanapun setakat ini kita belum membincangkan perkara itu termasuk belum membincangkan nama sesuai untuk calon jawatan berkenaan,” katanya.
Kelmarin, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam kenyataan berkata, pihaknya akan mencadangkan nama pemimpin berkelayakan untuk jawatan berkenaan sebagai bukti komitmen BN dalam melaksanakannya.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini meminta Bung Moktar memasukkan jawatan TPM untuk Sabah dalam manifesto PRU15 khusus untuk Sabah.
Katanya, tiada masalah untuk mewujudkan sehingga tiga jawatan TPM, masing-masing mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung berikutan tiada dinyatakan dalam Perlembagaan Negara mengenai pelantikan jawatan itu.
Sementara itu, ditanya kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU15, Yakub berkata, ia tetap diteruskan dan perbincangan mengenai agihan kerusi sudah hampir selesai serta menunggu untuk dimuktamadkan.
“Mengenai calon, terpulang kepada parti masing-masing, tetapi dalam perbincangan kita menyatakan calon diletakkan sama ada bagi kerusi BN mahupun GRS perlu dibincangkan bersama supaya ia calon terbaik mewakili BN serta GRS itu sendiri,” katanya.
Difahamkan, GRS dan BN Sabah akan membuat pengumuman serentak berhubung calon masing-masing pada PRU15 yang dijangka pada awal minggu depan.