Cagar KWSP Untuk Pinjaman Tak Langgar Akta, Kata PM

dsai-ekonomi.jpg
Kongsi Bersama

IPOH: Kaedah membolehkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan, tidak melanggar Akta KWSP, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan KWSP, dan difahamkan tiada sebarang halangan untuk melaksanakannya.

Jelasnya, kebenaran kepada pencarum menggunakan wang simpanan KWSP sebagai cagaran bank adalah bagi mereka yang mempunyai wang caruman yang besar, namun berhadapan kesulitan.

“Kita tidak benarkan orang ramai keluarkan caruman KWSP lagi kerana ini bukan waktu COVID-19 lagi, mereka boleh kerja, tetapi ada beberapa kes mendesak dimaklumkan kepada kita.

“Umpamanya dia ada wang, tetapi tak dapat bayar yuran pendidikan anak di luar negara dan kita tak benar keluarkan KWSP, jadi boleh guna kaedah itu tetapi dengan syarat yang ketat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2023 di Stadium Indera Mulia, di sini.

Terdahulu, pada sesi penggulungan usul Belanjawan 2023 di Parlimen pada Khamis lalu, Anwar berkata, kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.

Bagaimanapun, timbul dakwaan mengatakan tindakan membenarkan caruman KWSP dijadikan sebagai cagaran sebagai melanggar undang-undang mengikut Akta KWSP 1991 berikutan simpanan itu hanya boleh dikeluarkan bagi tujuan tertentu sahaja.

Sebelum itu terdapat desakan pengeluaran KWSP secara bersasar bagi membantu golongan terkesan pasca Covid-19 serta inflasi.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top