KOTA KINABALU: Cadangan mengundang Warisan sertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum dibawa ke perbincangan kepimpinan gabungan mahupun Parti Bersatu Sabah (PBS), kata Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PBS, berkata GRS mengalu-alukan idea menyatukan parti tempatan namun terdapat proses perlu dituruti.
Beliau mengulas cadangan Ketua Pemuda PBS Christoper Mandut yang mempelawa Warisan memohon sertai GRS secara rasmi jika serius mahu bekerjasama.
“Ini adalah pendapat yang diutarakan oleh sesetengah individu, tetapi ia belum dibawa ke perbincangan dalam kalangan kepimpinan GRS atau PBS,” kata Joniston dalam kenyataan.
Beliau turut menyifatkan cadangan itu sebagai tidak mencerminkan pendirian rasmi GRS.
Jonison berkata demikian susulan pertanyaan daripada penyokong GRS dan PBS yang mahukan penjelasan mengenani pendirian parti berhubung perkara ini.
“Kami menghargai minat untuk mengukuhkan rangka kerja politik Sabah, tetapi kami menggesa penyokong dan orang ramai untuk elak membuat kesimpulan berdasarkan pendapat individu,” katanya.
Mandut membuat pelawaan itu selepas Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dilapor mendakwa GRS banyak kali menolak perbincangan kerjasama dengan partinya bagi PRN akan datang.
Mandut berkata ini kali pertama pihaknya mendengar ‘niat’ itu, kerana apa yang sering didengar daripada pihak Shafie adalah kritikan terhadap GRS.
Katanya, Warisan juga tidak lama dahulu kelihatan lebih cenderung untuk bekerjasama dengan Umno. – Penerangan Gagasan Rakyat