Cadangan Pindah Setinggan Kampung Bagiang,Kunak Jaya Belum Temu Jalan Penyelesaian

norazlinah-arif-bernama-151020-1.jpg
Kongsi Bersama

KUNAK: Cadangan memindah lebih 2,500 penduduk setinggan yang menduduki tanah Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Kampung Bagiang dan Kunak Jaya di sini belum menemui jalan penyelesaian.

Sebaliknya, perbincangan antara LPPB dan ADUN Kunak, Norazlinah Arif menjurus kepada alternatif baharu, menyediakan dua lokasi pemindahan di Kampung Hampilan dan pasisir Sungai Kunak Jaya jika penduduk setinggan itu dipindahkan.

Pihak LPPB, mahu penghuni setinggan segera dipindahkan bagi membolehkan dua tapak perkampungan setinggan berkenaan dapat dikomersialkan.

Satu pihak lagi melibatkan ADUN Kunak, mahu Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Haji Noor campur tangan bagi menyelesaikan isu tersebut.

Mesyuarat di Pejabat Urusetia Kunak Rabu lalu melibatkan LPPB, diketuai Pengerusinya, Datuk Masiung Banah dan Pengurus Besar, Rosemary Ahping bersama Norazalinah yang turut dihadiri Pegawai Daerah, Awang Mohd Yusoff, namun belum mencapai sebarang kata sepakat.

Mesyuarat itu turut dihadiri wakil Jabatan Tanah dan Ukur daerah, Jabatan Perhutanan dan Pihak Berkuasa Tempatan sebelum mengadakan lawatan di tapak pemindahan baharu yang dicadangkan.

Masiung memberi jaminan, LPPB bersedia memberi kerjasama sepenuhnya jika para penghuni setinggan dipindahkan di dua lokasi baharu yang dicadangkan, iaitu Kampung Hampilan dan pesisir Sungai Kunak Jaya.

“Kita menyedari akan wujud pelbagai kontroversi dalam usaha  memindahkan penduduk setinggan. Namun saya berharap ada solusi  holistik boleh dicapai menerusi perbincangan, ” jelasnya.

Sementara itu, Norazalinah yang ditemui di tapak cadangan pemindahan baharu setinggan itu, mahukan LPPB mendirikan rumah flat terlebih dahulu di kawasan lain, bagi menempatkan semula penduduk setinggan jika mereka dipindahkan.

Wakil Rakyat Kunak itu menuntut supaya kerajaan negeri mengekalkan status Kampung Bagiang dan Kunak Jaya sebagai rizab kampung.

“Saya akan berjumpa dengan Ketua Menteri dalam masa terdekat  bagi menyelasaikan isu ini. Saya akan mengemukan cadangan supaya kerajaan menyediakan kawasan baharu untuk LPPB sebagai alternatif menggantikan dua perkampungan setinggan itu terus dikekalkan, ” jelasnya.

Norazalinah hairan bagaimana LPPB memperolehi geran di tapak perkampungan tradisi itu pada tahun 1990 di Kampung Kunak Jaya dan 1998 di Bagiang sedangkan penduduk telah memohon tapak perkampungan itu sejak awal 1970-an.

“Saya dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Bagiang… saya tahu usaha nenek moyang kami memohon tapak perkampungan itu dan menatap lebih awal berbanding LPPB yang hanya mendapat hak milik tanah pada awal 1990-an.

Norazalinah mendakwa, pada masa kini terdapat 400 buah rumah di Kampung Bagiang dan lebih 100 rumah di Kunak Jaya telah didirikan di mana 90 peratus penduduknya adalah rakyat tempatan.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top