Cadangan Pindaan RUU Berkaitan Perkara 1(2) dan 160(2) Dibentang Tidak Lama Lagi

Dr-maximus.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Kabinet Persekutuan semalam menyokong sepenuhnya keputusan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) untuk membentangkan rang undang-undang bagi meminda Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, persetujuan itu dicapai selepas taklimat oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun kepada menteri-menteri kabinet.

“Semasa taklimat itu, Peguam Negara menjawab segala pertanyaan undang-undang mengenai pindaan yang dicadangkan, terutamanya berkenaan Perkara 160(2),” kata Dr. Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu.

Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan membentangkan bacaan pertama rang undang-undang Perlembagaan Persekutuan dalam masa terdekat, manakala bacaan kedua untuk perbahasan dan pengundian akan dilakukan selepas perbahasan Belanjawan pada sidang Parlimen yang berlangsung ketika ini selesai.

“Resolusi penting dan bersejarah adalah cadangan pindaan perlembagaan pada Perkara 1(2) dan 160(2) berkaitan status sama rata Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung, untuk mentakrifkan semula makna ‘persekutuan’, dan memasukkan istilah Hari Malaysia dalam RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan selaras dengan MA63,” jelas Dr. Maximus.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top