PAPAR: Empangan Papar adalah salah satu penyelesaian kepada masalah air di negeri ini, kata ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim.
NST dalam laporannya semalam memetik ADUN itu sebagai berkata, tiada hari beliau tidak mendapat aduan mengenai kekurangan bekalan air.
Menurut laporan itu lagi Juil berkata, sesetengah penduduk khususnya di kawasan Kinarut, mengalami gangguan bekalan air sehingga dua minggu, manakala (sebuah kilang) di kawasan perindustrian di Lok Kawi terpaksa mengeluarkan wang sehingga RM4,000 sebulan untuk air, walhal kebiasaannya ia membayar RM600 sebulan.
Empangan Papar, bertujuan untuk memenuhi permintaan air yang semakin meningkat dari pantai barat Sabah, telah dicadangkan lebih 10 tahun lalu untuk dibina di Moyog (Penampang) sebagai projek Empangan Kaiduan.
“Bila ada pembangunan, sudah pasti kita perlukan air dan elektrik. Pelabur bertanya sama ada bekalan elektrik dan air ada. Kalau tidak, mereka tidak akan datang ke Sabah.“Mungkin ada pihak membantah, tetapi jika ia dibina di Papar, kita bertuah kerana ia boleh menarik pelancongan seperti mana Sarawak mendapat manfaat daripada empangan di sana,” ujarnya.
Menurut beliau, rancangan pembinaan empangan di Sarawak dahulu pun dibantah keras oleh penduduk, tetapi kini ramai pengunjung datang melawat empangan itu dan Sarawak juga membekalkan tenaga kepada Indonesia.
“Kita memerlukan empangan ini, namun terpulang kepada kerajaan negeri untuk memutuskan sama ada untuk melaksanakannya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat karnival Kaamatan peringkat daerah di sini.