Cadangan naik had pembelian petrol pengusaha bot Sandakan dibawa ke Kabinet

Diesel.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Isu had pembelian petrol 100 liter sehari kepada pengusaha-pengusaha bot di Sandakan yang tidak mencukupi akan dibawa ke dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, sebarang aduan berkaitan pembelian petrol, boleh dibuat ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN).

“Permohonan permit khas untuk membeli barang kawalan berjadual bagi tujuan pengangkutan air termasuk pelancongan di bawah bidang kuasa KPDN.

“MOTAC sentiasa bersedia bekerjasama dengan mana-mana kementerian demi imej negara dan isu ini bakal dibincangkan dalam Kabinet akan datang,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh Kosmo! Online.

Beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, semalam, bagi menjawab pertanyaan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang menuntut tambahan jumlah pembelian harian petrol bagi para pengusaha bot di Sandakan.

Ia berikutan, mereka memerlukan sekurang-kurangnya 400 liter petrol sehari berbanding had terkini iaitu 100 liter sehari untuk membawa pelancong daripada jeti ke resort di sekitarnya.

Terdahulu King Sing memaklumkan, perbincangan bersama Kementerian Pengangkutan dan Tourism Malaysia telah diadakan pada Mei lalu bagi mengenal pasti langkah menghidupkan semula industri cruise di Malaysia.

Ia berikutan, penilaian mendapati, Sandakan Port merupakan transit port yang boleh dipopularkan terutama bagi pelancong dari Eropah.

“Antara strategi yang dicadangkan termasuklah mengaktifkan semula Malaysia Cruise Council yang menghubungkan pembuat dasar dengan pemain industri bagi menetapkan halatuju industri serta mengatasi sebarang halangan yang merencat pembangunan industri kapal persiaran.

“Ini termasuk menambah baik infrastruktur pelabuhan serta tadbir urus perkastaman, imigresen dan kuarantin (CIQ),” ujarnya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top