Cadangan Lebarkan Sayap WARISAN Ke Semenanjung Tidak Dipengaruhi Mahathir

pandua.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto Padua berkata, keputusan parti itu untuk melebarkan sayap ke Semenanjung adalah keputusan sendiri dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Katanya, pandangan penganalisis politik mengatakan langkah itu bertujuan membuka peluang kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai parti itu jika Pejuang gagal didaftarkan adalah tidak benar.

“Keputusan ini (melebarkan sayap ke Semenanjung) dibuat sendiri oleh parti dan tidak dipengaruhi oleh Mahathir atau mana-mana individu.

“Konsep perpaduan dan membina negara tanpa mengira kaum serta agama adalah asas penubuhan Warisan yang juga diimpikan oleh rakyat Malaysia yang letih dengan permainan politik bangsa dan agama,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Loretto berkata, Warisan adalah parti politik alternatif untuk rakyat Malaysia yang selama ini mengimpikan sebuah parti yang mempunyai kredibiliti, toleransi dan maruah untuk mewakili mereka.

“Sekiranya parti politik seperti UMNO, PPBM, PAS, PKR atau DAP sebagai parti nasional boleh bertapak di Sabah, kenapa tidak Warisan membuat perkara sama jika konsep parti ini ideal untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia di Semenanjung tidak mempunyai masalah untuk menyokong Warisan kerana parti itu mengutamakan perpaduan seperti mana perpaduan antara kaum dan agama di Sabah yang menjadi contoh kepada negara.

“Sebagai sebuah parti yang berpandukan toleransi dan keharmonian pelbagai kaum di Sabah, Warisan adalah agen yang sangat berkesan untuk mempromosikan cita-cita ni di negara ini.

“Kami membina negara ini bersama-sama.

“Adalah tidak masuk akal sama sekali untuk menyekat Warisan melebarkan sayapnya (ke Semenanjung) kerana ia sama sekali bertentangan dengan semangat Sabah sebagai rakan setaraf dalam persekutuan Malaysia,” katanya.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top