DUA hari lalu, Adun Sebatik Datuk Muis Picho bersama dua lagi rakannya, Datuk Osman Jamal (Balung) dan Datuk Hamisah Samad (Tanjung Batu) meminta pihak yang mengatakan mereka menerima ganjaran atau bayaran kerana bertindak melompat keluar dari parti WARISAN tampil mengemukakan bukti tuduhan mereka.
Selepas beberapa minggu mendiamkan diri dan menerima pelbagai tohmahan dan fitnah kerana bertindak keluar dari parti Warisan Sabah, ketiga-tiga Adun berkenaan tampil memperjelas isu berkenaan termasuk meminta pihak yang menuduh mengemukakan bukti.
Tetapi sehingga hari ini tiada siapa menyahut cabaran itu. Yang mendakwa terus menikus.
Menurut laporan yang dimuatnaik oleh #BESTAWAUfm di akaun media sosialnya, Muis sewaktu melontarkan cabaran itu berkata, sekiranya mereka yang digelar sebagai ‘katak’ menerima bayaran jutaan ringgit, mereka yang memfitnah juga boleh merujuk kepada Ketua Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri kerajaan sementara Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sama ada mereka pernah dibayar untuk menyertai Warisan dahulu sekali gus membolehkan parti itu memerintah Sabah.
Muis berkata demikian di Tawau bagi memperjelas tindakan beliau, Osman dan Hamisah keluar dari WARISAN dan menyokong bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.
Menurutnya, dahulu mereka keluar dari UMNO dan menyertai WARISAN kerana mahu pemerintahan negeri ini sentiasa selari dengan kerajaan Persekutuan sebagai pemerintah negara dan bukan menjadi pembangkang seperti hari ini.
Menurut laporan yang sama, Osman turut meluahkan kekecewaan berikutan kemasukan mereka dalam WARISAN seolah-olah tidak diterima pucuk pimpinan parti itu dengan ikhlas termasuk melambat-lambatkan kemasukan cawangan-cawangan hampir dua tahun.
Beliau turut memperjelaskan isu tanah yang beliau andaikan sebagai ‘Lembu punya susu, sapi dapat nama’.
Hamisa pula berkata, apa pun tuduhan orang ramai mengenai tindakan mereka keluar masuk parti, hanya mereka yang tahu dan ia jauh sekali untuk kepentingan diri sendiri.
Beliau berkata, banyak contoh pemerintahan negeri yang tidak seiring kerajaan persekutuan akan menyukarkan pembangunan dan menyulitkan kehidupan rakyat dari segi penyaluran peruntukan di sesebuah kawasan.
Mengenai segelintir pemimpin di kawasan Kalabakan yang menguar-uarkan tentang usaha mereka yang kononnya mencadangkan pewujudan daerah Kalabakan, beliau menegaskan, rakyat di kawasan berkenaan tahu perjuangan pemimpin terdahulu yang telah lebih awal mencadangkan kewujudan daerah itu.