Cabaran Fun Ride Mountain Bike (MTB) Acara Sukan Pertama Sabah Sejak Covid-19

Fun-Ride-KB.jpg
Kongsi Bersama

KOTA BELUD: Seramai 160 orang telah menyertai Cabaran Fun Ride Mountain Bike (MTB) yang diadakan di Kampung Kiau Taburi di sini, pada Sabtu lepas.

Bertemakan ‘The Lost World of Kiau Taburi’, cabaran itu merupakan acara sukan pertama bagi negeri ini selepas aktiviti pelancongan sukan terhenti hampir dua tahun akibat pandemik COVID-19.

Cabaran MTB tersebut dianjurkan oleh komuniti kampung dan disokong oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar (KePKAS) serta Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

Timbalan Pengurus Besar STB Julinus Jimit berkata, Cabaran MTB merupakan salah satu acara sukan yang dinanti-nantikan selepas pergerakan rentas daerah dibenarkan.

“Acara seperti ini mampu menambah nilai dan mempromosikan aktiviti pelancongan luar bandar dengan penyertaan komuniti kampung.

“Ini adalah antara matlamat kerajaan negeri melalui KePKAS untuk membangunkan pelancongan desa,” katanya pada majlis perasmian dan penutupan Cabaran MTB.

Julinus hadir di Kampung Kiau Taburi bagi mewakili Pembantu Menteri KePKAS merangkap Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata, KePKAS dan STB akan terus menyokong acara itu jika ia diadakan semula pada tahun berikutnya dan berharap lebih banyak penyertaan dari negeri lain dan luar negara.

“Dengan sempadan antarabangsa dijangka buka semula tahun depan, kita juga harus bersedia untuk mengalu-alukan penyertaan dari negara lain dalam acara sukan kita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Timothy Sagun berkata, aktiviti diadakan bagi mempromosikan Kg. Kiau Taburi sebagai destinasi eko-pelancongan dan menggiatkan semula aktiviti pelancongan berasaskan komuniti.

Turut hadir pada majlis itu Penolong Pegawai Daerah Kota Belud Abdul Wahab Sidek; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian Denis Rumanti; dan ketua masyarakat Kampung Kiau Taburi, Kampung Kiau Nuluh, dan Kampung Kiau Bersatu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top