Bung Terima Ijazah Kehormat Doktor Sains Politik

Bung.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abdul Wahid

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Politik sempena pengumuman naik taraf kolej Jesselton kepada Kolej Unversiti Jesselton (JUC) dan konvokesyen pertama kolej tersebut di Marriott Hotel kelmarin.

Bung yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kajian Dasar dan Analisis) Fakulti Sains Politik Unversiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima penganugerahan itu dari Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad yang merasmikan majlis konvokesyen tersebut.

Ijazah kehormat itu dianugerahkan kepada Bung di atas jasa bakti dan sumbangannya dalam bidang politik, pendidikan, kebajikan dan kemasyarakatan di negeri ini.

Selain Bung turut menerima anugerah yang sama ialah Ahli Dewan Negara yang juga Pengarah Asia Coding Centre Sdn Bhd Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifah.

Kolej Jesselton yang kini akan dikenali sebagai Kolej Universiti Jesselton (JUC) setelah menerima kelulusan dari Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini.

Untuk rekod JUC ditubuhkan pada 10 Oktober 1988 dan peningkatan taraf kepada universiti kolej adalah bukti komitmen institusi ini dalam menyediakan pendidikan tinggi yang cemerlang dan berkualiti kepada pelajar dari seluruh Asia.

Institusi ini telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan terbukti, yang telah meluaskan jejaknya ke jangkauan global.

JUC ialah institusi bertauliah ASIC, UK, pusat berlesen OTHM, UK, dan ahli AHEA, AS.

Menurut Presiden JUC Professor Dr Datuk Chin Yuk Fong, pencapaian-pencapaian itu menandakan bahawa Kolej Universiti Jesselton adalah kolej tempatan pertama yang dinaik taraf di Sabah.

“Rakyat Sabah kini dapat menikmati peluang yang lebih luas untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi hasil daripada peningkatan ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pengajian Tinggi kerana memberi kepercayaan kepada institusi itu dalam membangunkan industri pengajian tinggi swasta Sabah dan berikrar untuk terus berkhidmat kepada masyarakat, negeri dan negara dengan membangunkan lebih ramai bakat yang menyumbang kepada pembangunan pelbagai industri di negara ini.

Sementara itu, Bung ketika ditemui selepas upacara itu berkata, beliau sangat berbesar hati di atas pengiktirafan berkenaan dan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan JUC dalam pelbagai bidang terutamanya pendidikan.

“Inilah kali pertama saya mendapat anugerah seperti ini dan saya akan melihat bagaimana saya boleh gunakan pengalaman saya dalam bidang politik ini untuk membantu pihak universiti pada masa akan datang,” katanya.

Pada majlis itu seramai 70 orang graduan menerima skrol mereka masing-masing yang disampaikan oleh Senator Datuk Arman Azha Abu Bakar dan Bung.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top