Oleh: Jaafar Abd Wahid
KINABATANGAN: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radini telah menyumbangkan 29 ekor lembu korban untuk kawasan Parlimen Kinabatangan bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Dari jumlah tersebut sebanyak 8 ekor lembu disumbangkan kepada 6 Pusat Daerah Mengundi DUN Lamag dan 2 ekor untuk UPPM Lamag bersama Sekolah Rendah Kota Kinabatangan dan Taskin Bukit Garam.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut turun padang bagi menyaksikan majlis penyembelihan lembu dan penyerahan daging korban kepada penerima yang layak di beberapa buah lokasi iaitu di masjid Kampung Perpaduan Batu Putih dan kampung Batu 3 Bukit Garam kelmarin.
Turut sama di majlis tersebut ialah Menteri Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Adun Sukau Datuk Jafry Arifin dan pemimpin masyarakat tempatan.
Ketika ditemui selepas majlis tersebut Bung yang juga ADUN Lamag berkata Aidiladha dan korban haiwan ternakan mempunyai sejarah dan signifikan kepada umat Islam.
Katanya bagi umat Islam, melaksanakan ibadah korban bermakna membantu mereka yang kurang bernasib baik.
“Saya harap kita menyambut Aidladha ini secara sederhana tetapi yang penting kita dapat menghayati nilai-nilai ibadah korban sebagai umat Islam,” katanya.