SANDAKAN: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Sri Bung Moktar Radin sedia mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak termasuk pihak pembangkang bagi bersama-sama membangunkan daerah Sandakan.
Menteri Kerja Raya Sabah itu amat mengalu-alukan pembangunan di daerah Sandakan dan sedia membantu merencanakan apa saja yang dirancangkan demi kebaikan bersama.
“Kita sedia berbincang dengan mana-mana pihak pun untuk pembangunan Sandakan dan segala pandangan akan diberikan perhatian agar ia dapat dibangunkan dengan memberi tumpuan dan bagaimana menyelaras pembangunan itu,” katanya.
Bung Moktar berkata selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini di mana ia akan memanggil ahli-ahli majlis di setiap daerah termasuk di Sandakan bagi merancang pembangunan di daerah ini.
Beliau mahu juga Sandakan dibangunkan agar tidak lagi dipanggil sebagai bandar mati sekaligus bandar ini dapat menjana ekonomi rakyat.
“Saya telah bertemu dengan Ketua Menteri berbincang perkara ini, Ketua Menteri telah memberi amanat kepada saya bagi memastikan pembangunan di Pantai Timur Sabah diberi fokus,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Daerah Kinabatangan Sesi 2020-2021 di sebuah hotel di sini.
Sementara itu, Bung Moktar menegaskan bahawa tugas setiap Ahli Majlis bukan sekadar menghadiri mesyuarat tetapi juga peranan penting mereka akan dapat membantu mencapai tahap pembangunan yang lebih baik dan berkesan.
Beliau mahu Ahli-ahli Majlis khususnya di peringkat daerah perlu berani berfikir di luar kotak kerana langkah sedemikian membantu merencanakan apa juga perancangan membangunkan sesebuah kawasan diwakili.
Sehubungan dengan itu, Bung Moktar tegaskan sebagai Ahli Majlis perlu juga sentiasa duduk berbincang mencari mekanisme terbaik dalam usaha memastikan pembangunan demi kemajuan rakyat luar bandar.
Beliau berkata jika mereka memahami tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sudah tentu segala perancangan memajukan daerah akan berjalan lancar.
“Penularan pandemik Covid – 19 telah mengubah ekonomi di seluruh dunia namun begitu, kita perlulah berusaha meningkatkan ekonomi demi kepesatan pembangunan negara termasuk kawasan luar bandar ini.
“Saya bagi tempoh tiga bulan untuk Ahli-ahli Majlis Daerah di Kinabatangan ini menjalankan amanah yang digalas sebaik-baiknya … anda semua memainkan peranan penting, duduklah berbincang macam mana nak tingkat ekonomi rakyat dan pendapatan majlis.
“Kita kena melangkah ke hadapan dengan berfikiran luas dan sedia membantu mencapai tahap pembangunan yang lebih padu … jadi, seseorang ahli Majlis hendaklah berwibawa dan berketrampilan untuk membantu membangunkan Kinabatangan ini,” jelasnya. – Utusan Borneo
Pada majlis berkenaan, seramai 18 orang Ahli-ahli Majlis Daerah iaitu masing-masing seramai sembilan Ahli Majlis mewakili kawasan N. 58 Lamag dan N. 59 Sukau mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Daerah Kinabatangan.
Hadir sama ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Haji Ariffin; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Haji Mohd Hamsan Hj Awang Supain dan Pengerusi Majlis Daerah Kinabatangan, Abd. Manap Abd. Ruhim.