Oleh: Jaafar Abdul Wahid
TAWAU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyeru golongan petani khususnya peneroka agar tidak bergantung dan fokus terhadap sesuatu jenis tanaman sahaja.
Sebaliknya, kata beliau, mereka juga perlu mengusahakan tanaman lain untuk menjana ekonomi seharian.
Usaha itu penting sebagailangkah persediaan bagi mereka sekiranya berdepan dengan kejatuhan harga sesuatu-satu jenis tanaman.
“Kita sedia maklum harga buah sawit mengikut harga pasaran, ada ketikanya ia akan menjunam jatuh dan memberi kesan kepada peneroka, justeru dengan adanya tanaman lain ianya boleh mengimbangi pendapatan seharian,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Dewan Masyarat Kampung Rancangan Apas Proper Batu 22, Balung, Tawau dekat sini baru-baru ini.
Sempena perasmian tersebut penduduk kampung bersetuju menamakan dewan itu sebagai Dewan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.
“Banyak tanaman lain boleh kita usahakan antara durian musang king, nenas, avocado, sayur-sayuran dan lain-lain yang mempunyai nilai permintaan dan pasaran yang baik dan mampu menjana ekonomi,” katanya,
Selain itu, Bung turut memperingatkan golongan petani agar tidak terlalu bergantung kepada tenaga kerja warga asing dan memupuk disiplin yang tinggi dalam mengusahakan sektor itu.
Di majlis yang sama Bung yang juga Ketua Umno Sabah turut menerima borang kemasukan ahli Umno dari beberapa kumpulan dan individu setempat di kawasan tersebut.
Ketika mengalu-alukan kemasukan mereka Bung berkata Umno/Barisan Nasional (BN) semakin mendapat tempat di hati rakyat berdasarkan komitmen parti membantu rakyat dari dahulu sehingga sekarang.
Menurut beliau penerimaan semula rakyat terhadap perjuangan Umno/BN semakin pulih apabila dalam beberapa siri PRK,dan PRN yang diadakan rakyat memilih parti dan gabungan tersebut.
“Bagi mereka yang ingin kembali ke pengkuan Umno/BN kita mengamalkan sikap pintu terbuka asalkan mereka ikhlas dalam perjuangan,” kata Bung.