Bung Moktar, Mohamad Alamin Nafi Dakwaan Sokong DSAI

IMG_20201005_064827.png
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan dia antara Ahli Parlimen dari Sabah menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu diketuai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penafian itu dibuat selepas beliau yang juga Ketua Umno Sabah dinamakan antara wakil rakyat Umno yang menyokong Anwar bagi membolehkan beliau menubuhkan kerajaan baharu.

“Saya tidak tahu menahu perkara ini, hanya dimaklumkan berita tersebut diterbitkan di salah sebuah protal dan viral di media sosial dan saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah atau terlibat menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu diketuai ahli Parlimen Port Dickson, sebagaimana yang dilaporkan sebuah portal berita dalam talian,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beberapa hari lalu,Anwar mengumumkan mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong bagi membentuk kerajaan baharu.

Menurut Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, sebagaimana beliau tegaskan beberapa hari lalu sebaik sahaja BN dan gabungan Perikatan Nasional mengambil alih kerajaan negeri selepas PRN, tumpuan utama ialah memajukan negeri dan memperbaiki taraf hidup rakyat.

”Masa berpolitik sudah berlalu, kita tumpu untuk perhatian membangunkan negeri dan rakyat apa lagi ketika ini Sabah berhadapan dengan gelombang kedua Pandemik Covid-19 kehidupan rakyat semakin terjejas terutamanya di kawasan kawasan diketegorikan ”Red Zone”,” katanya.

Sementara itu seorang lagi Ahli Parlimen yang disebut-sebut menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu itu, Datuk Mohamad Alamin (Kimanis) turut menafikan menyokong Anwar dengan berkata beliau kekal dalam parti UMNO dan menyokong kerajaan PN.

Ketua Umno bahagian Kimanis iti meminta Anwar membuktikan dakwannya di Dewan Rakyat bukan di hotel atau sidang media.-pr/BNN

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top