Bung Moktar Cadang Lebuh Raya Pan Borneo Dilaksana Secara PFI

bung-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) di Sabah perlu dilaksanakan secara Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) bagi memastikan proses pembinaannya dapat dipercepatkan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, proses pembinaan LPB di negeri ini agak perlahan maka, beliau mencadangkan 22 pakej satu Fasa 1 dilaksanakan secara PFI.

Usaha ini bagi memastikan janji kepada rakyat untuk membawa jajaran baharu dalam pembangunan infrastruktur di negeri ini dapat dilaksana dengan segera.

“Saya meminta pelaksanaan melalui PFI kerana berkemungkinan kerajaan persekutuan tidak mempunyai kewangan untuk melaksanakan LPB ini mengikut peruntukkan yang ada.

“Berikutan itu, saya mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar projek ini dilaksana secara PFI semasa Taklimat Pembangunan Negeri Sabah semalam.

“Perdana Menteri juga memberi jaminan akan membawa perkara ini ke Kabinet Persekutuan untuk diputuskan,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah hari ini.

Mengulas lanjut, Menteri Kerja Raya ini berkata, biarpun berdepan banyak kekangan ketika pembinaan projek LPB ini namun, beliau akan memastikan kerja-kerja pembinaan diteruskan.

Projek LPB Fasa 1 ini mula dilaksanakan pada Julai 2016 dan dijadualkan siap pada tahun 2023.

Pada 18 Februari tahun lalu, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pembinaan LPB di Sabah baru mencapai tahap 34 peratus manakala, di Sarawak pada tahap 53 peratus.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top