Oleh: Jaafar Abdul Wahid
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berharap kontraktor pelaksana projek naik taraf jalan raya antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke simpang Indah Permai dapat mempercepatkan kerja-kerja pembinaan bagi memberi keselesaan kepada pengguna yang sekian lama berhadapan dengan kesesakan terutamanya di waktu puncak.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata sasaran Jabatan Kerja Raya adalah agar projek tersebut boleh disiapkan 60 peratus ketika ini, tetapii pihak kontraktor hanya dapat melaksanakanya sekitar 55 peratus.
Projek naik taraf jalan tersbut dari empat lorong kepada enam lorong termasuklah pembinaan empat jejambat iaitu di simpang Kingfisher, UMS,Rampayan dan Indah Permai.
“Kita faham antara sebab kelewatan ini adalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk kerja-kerja pengubah suaian laluan paip, bagaimanapun kita berharap kontraktor terlibat mempercepatkan kerja-kerja pembinaan semasa PKP ini kerana kurang gangguan kenderaan yang melalui kawasan tersebut ,” katanya ketika meninjau kerja-kerja pembinaan jejambat Rampayan di sini baru-baru ini.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kemnterian Kerja Raya Mohd. Jasmin Julpin, Pengarah Jabatan Kerja Raya Ali Ahmad , Pengarah Jabatan Air Edward Lingkapo dan wakil dari syarikat pemaju.
Mengulas isu gangguan air di beberapa buah kampung di kawasan Sepanggar Bung berkata antara faktor menyebabkan gangguan sering berlaku ialah kes kecurian air di mana terdapat banyak saluran-saluran air paip dibuat secara haram menyebabkan tekanan air menjadi rendah dan menjejaskan pengguna terutamanya di kawasan tinggi.
“Saya meminta Jabatan Air bersama agensi lain yang terlibat memantau keadaan ini serta mengambil tindakan proaktif bagi memotong paip-paip air yang disambung secara haram,” katanya.
Menurut Bung kes kecurian air ini bukan sahaja menjejaskan pengguna terutamanya mereka yang memiliki meter air malah mendatangkan kerugian berjuta ringgit kepada kerajaan.
Dalam perkambangan yang sama Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan meminta semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan Parlimen Sepanggar agar membentuk satu jawatankuasa khas bagi mengumpul data penduduk kampung yang memiliki meter air.
Katanya langkah ini bertujuan memastikan tidak berlakunnya pemasangan paip secara haram di kalangan penduduk kampung dan menasihatkan mereka agar memasang meter air masing-masing bagi mengelak sebarang tindakan diambil.