Bung Minta Kerajaan Pusat Sediakan Dana Khas Untuk Kerja-kerja Kecemasan

Bung.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan pusat perlu  menyediakan peruntukan khas  kepada Sabah bagi menyelesaikan  kerja-kerja kecemasan yang memerlukan tindakan segara terutamanya bencana alam.

Ketika membangkitkan perkara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, mutakhir ini sering kali berlaku bencana alam seperti jalan,cerun dan jambatan runtuh, banjir, kebakaran yang melibatkan kawasan perkampungan dan lain-lain  yang memerlukan peruntukan segera untuk memperbaikinya.

“Jika berlaku bencana alam seperti jalan dan cerun runtuh, banjir dan sebagainya yang memerlukan kos tinggi untuk kerja-kerja  pembaikan, kita perlu memohon kepada  kementerian berkaitan atau kementerian kewangan di mana  prosesnya memakan masa menyebabkan  kerja-kerja pembaikan lambat dilaksanakan yang sudah pasti membebankan rakyat,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) hari ini.

Sehubungan itu Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah mencadangkan agar kerajaan pusat menyediakan dana khas kepada kerajaan negeri untuk membayai kos-kos pembaikan bagi kerja-kerja kecemasan yang memerlukan kos yang tinggi yang tidak mampu disediakan oleh kerajaan negeri.

“Berikanlah dana khas sekitar RM200 ke RM300 juta setahun untuk membiyai kerja-kerja kecemasan, agar memudahkan kerajaan negeri mempercepatkan tindakan untuk memperbaiki segala kerosakan yang diakibatkan oleh bencana alam, ” katanya.

Dalam perkara yang sama Menteri Kerja Raya Sabah itu juga  mengulangi hasrat kerajaan negeri agar Sabah diberikan kuasa autonomi untuk melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah RMK-12 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

“Sabah sudah merdeka melalui Malaysia selama 58 tahun namun dari segi pembangunan amat jauh ketinggalan berbanding lain-lain negeri menyebabkan Sabah masih dikategorikan negeri termiskin. Ini disebabkan  pelarasan program pembangunan yang mendapat peruntukan dari kerajaan pusat masih menggunakan kaedah lama dan tidak relevan ketika ini, ” katanya.

Sehubungan dengan itu, katanya, kerajaan pusat wajar menyerahkan peruntukan yang disediakan kepada kerajaan negeri untuk perancangan,pelaksanaan dan pemantauan.

“Kerajaan negeri lebih memahami demografi dan keperluan rakyat, justeru  salurkan peruntukan RMK-12 kepada kerajaan negeri, bagi memastikan projek-projek pembangunan dalam RMK-12 dapat dilaksana dengan lancar,” katanya.

Mengenai pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan-Borneo, Bung juga turut menyentuh agar kerajaan pusat menyegerakan  kelulusan yang dipohon oleh kerajaan negeri agar projek tersebut dilaksanakan secara pembayaan swasta (PFI).

“Kita perlu kelulusan segara  dari kerajaan pusat agar projek Lebuh Raya Pan-Borneo  Fasa I dapat dimulakan segera demi untuk  kemudahan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini -selari dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ dan  komitmen kerajaan untuk mentransformasikan  kawasan luar bandar khususnya di Sabah,“ katanya.

Tambah Bung jika projek ini tidak dilaksanakan secara (PFI) agak sukar bagi kerajaan menampung kos pembiayaannya ketika keadaan  ekonomi negara yang terjejas dengan penularan pandemik COVID-19 .

Dalam ucapan perbahasan tersebut Bung turut menyentuh kaedah pengguna MySejahtera yang banyak menimbulkan masalah kepada rakyat terutamanya mereka yang tidak memiliki telefon pintar.

“Rakyat mengeluh apabila mereka memasuki kedai runcit, pusat membeli-belah dan jabatan kerajaan mereka tidak dapat menunjukan data MySejahtera kerana tidak memiliki telefon pintar hanya menggunakan kad yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan yang tidak boleh diterima,“ katanya.

Sehubungan dengan itu, katanya, Kementerian Kesihatan perlu membuat kenyataan yang meyakinkan dan tidak menyusahkan rakyat dengan mengambil keadah yang lebih mudah.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top