KOTA KINABALU:Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta kerajaan persekutuan memberi kebenaran kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan bekalan vaksin daripada Pharmaniaga bagi membolehkan rakyat di negeri ini mendapat suntikan dengan segera.
Katanya, kaedah itu diyakini dapat mempercepatkan proses vaksinasi di negeri Sabah yang ketika ini masih rendah dan dibimbangi akan menjejaskan kesejahteraan rakyat negeri ini.
Sekiranya perkara ini tidak diberikan perhatian yang serius, maka usaha memberikan suntikan vaksin kepada rakyat Sabah kemungkinan akan memakan masa bertahun untuk mencapai sasaran, lebih-lebih lagi kaedah yang digunapakai ketika ini menerusi MySejahtera tidak begitu efektif.
Justeru Bung yang juga Menteri Kerja Raya meminta kerajaan persekutuan khususnya Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin supaya mendengar perkara ini dan bertindak (membenarkan kerajaan negeri membeli vaksin) bagi menggerakkan usaha-usaha vaksinasi.
Ianya penting kerana kerajaan negeri mahu pihak swasta di negeri ini turut terlibat sama dalam usaha memberikan suntikan vaksin kepada rakyat di negeri ini dan pada masa sama bergerak seiring dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dikendali kerajaan.
Jelas Bung lagi, kerajaan negeri Sabah bukan meminta tetapi ingin membeli bagi memperoleh vaksin tersebut namun tidak dibenarkan oleh kerajaan persekutuan dan tindakan ini jelas melambatkan proses vaksinasi.
“Kita bukan minta percuma, kita mahu beli dari Pharmaniaga. Lihatlah negara-negara lain, proses vaksinasi dapat dilaksanakan dengan pantas berbanding di Malaysia yang agak ‘slow’. Mengapa hak rakyat Sabah dinafikan, ” soal Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan.
Dalam pada itu, Bung turut menyarankan kepada kerajaan supaya turun padang, jelajah ke pedalaman dan luar bandar bagi memberi suntikan vaksin kepada rakyat di negeri ini.
Katanya, pendekatan melalui MySejahtera sahaja tidak cukup berkesan justeru beliau mahu kerajaan mencontohi tindakan negara-negara lain dalam usaha memberikan vaksin kepada rakyat di negara terbabit.