Bung Minta Kerajaan Negeri Dibenar Laksana Projek Pan Borneo, KKR Sedia Pertimbang

pan-borneo.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta Kementerian Kerja Raya (KKR) persekutuan mempertimbangkan supaya kerajaan negeri Sabah dibenar melaksanakan projek Pan Borneo di Sabah dengan kaedah inisiatif kewangan swasta (PFI).

Mengusulkan permintaan itu ketika membahaskan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi KKR di Dewan Rakyat semalam, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, langkah itu perlu memandangkan masalah pembinaan projek itu yang sangat perlahan dan kini hanya pada tahap 20 peratus sedangkan pembinaan di Sarawak sudah mencapai 65 peratus.

“Saya mahu pastikan rakyat Sabah juga menikmati kesenangan apabila projek Pan Borneo ini disiapkan, jika setahun satu pakej sahaja siap, sampai 2040 pun belum siap-siap lagi,” katanya.

Hasrat Bung Moktar itu mendapat reaksi positif daripada Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof yang berkata KKR sedia berbincang dengan kerajaan negeri Sabah mengenai pelaksanaan kaedah baharu pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo di negeri itu.

“Menjawab apa yang telah dikatakan Kinabatangan tadi, yang memohon supaya Pan Borneo di Sabah dapat disiapkan, kami sedia untuk berbincang dengan kerajaan Sabah tentang kaedah pelaksanaan yang baharu, sama ada secara PFI dan sebagainya… kita lihat bagaimana kedudukan kewangan kerajaan,” katanya ketika menggulung perbahasan.

Fadilah ketika memperincikan perkembangan projek itu di Sabah berkata 16 daripada baki 20 pakej telah diluluskan dan akan dilaksanakan, dan daripada jumlah itu 15 telah ditender, satu dibatalkan akibat ketidakupayaan kontraktor serta akan ditender semula, manakala satu lagi diluluskan melalui pakej 2021 ini.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top