KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta kerajaan mengkaji semula keperluan mewajibkan ujian swab Covid-19 ke atas mereka yang melakukan perjalanan dari Sabah ke Semenanjung dan sebaliknya kerana tindakan itu merupakan beban, terutama bagi mereka mempunyai keluar yang besar.
Bung berkata, syarat itu terbukti membebankan lebih-lebih lagi jika penerbangan dijadualkan semula setelah tempoh sah tiga hari hasil ujian.
Ahli Parlimen Kinabatangan, yang juga Ketua UMNO Sabah itu seterusnya berkata, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia mesti mencari jalan keluar yang lebih baik untuk mengatasi masalah itu.
Katanya, rakyat Sabah terpaksa menanggung kos yang tinggi berikutan peraturan itu, yang mewajibkan mereka yang berkenaan melakukan ujian swab tiga hari sebelum bertolak.
“Mana nak beli tiket, mana nak swab… kalau bujang atau berseorangan nak balik sendiri pun terpaksa bajet betul-betul, bagaimana pula yang bersama keluarga… kalau suami dan isteri bersama anak empat orang bukankah kosnya terlalu tinggi?
“Kena buat swab test lepas itu dapat email flight ditangguh ke hari yang lain, keputusan swab test ni cuma pakai selama tiga hari, flight seterusnya kena swab lagi, keluar duit lagi,” ujarnya.
“Saya harap pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta lain-lain pihak yang bertanggungjawab, prihatin dan memahami keadaan serta kesan yang dihadapi oleh rakyat Sabah yang perlu melalui keadaan seumpama ini.”
Ujarnya, rakyat bukan sesuka hati untuk pergi balik akan tetapi mereka terpaksa kerana ada sebab-sebab tertentu.