KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Satu, Datuk Seri Bung Moktar Radin bertukar portfolio selepas mengangkat sumpah pagi tadi.
Beliau yang beberapa jam sebelum ini dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah kini memegang jawatan Menteri Kerja Raya Sabah manakala Datuk Masidi Manjun dilantik Menteri Kewangan Dua.
Pertukaran berkenaan diumumkan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor ketika sidang akhbar pertama beliau selepas melapor diri di Pejabat Ketua Menteri, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini.
Hajiji berkata, beliau memerlukan khidmat Masidi dalam membantunya berkaitan perihal kewangan untuk memulihkan ekonomi Sabah yang sedang berhadapan pandemik Covid-19.
“Tiada sebarang masalah yang timbul dalam pertukaran portfolio ini.
“Saya cuma mahu Masidi bantu saya kerana beliau berpengalaman dalam ekonomi dan kewangan.
“Perkara ini juga dipersetujui oleh semua,” katanya.