PETALING JAYA: Semua ahli parti perlu akur dengan keputusan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pelantikan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Ketua Jentera Pilihan Raya parti itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Presiden parti telah pun membuat kenyataan berhubung perkara itu dan keputusan tersebut adalah keputusan parti.
“Jadi saya harap semua ahli dapat mengetepikan agenda sendiri dan kepentingan diri kerana yang bertanding bukan individu tetapi parti.
“Saya harap apabila Presiden mengumumkan keputusan parti dan semua pihak perlu akur dengan keputusan itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2020 di Seri Pentas di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung ketidakpuasan hati beberapa pemimpin UMNO di Sabah dengan pelantikan itu.-SH