Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABATANGAN: Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin kekal dengan saranannya sebelum ini agar penempatan baharu dapat diwujudkan bagi menempatkan penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran sungai, sekali gus mengelak mereka terus terjejas apabila banjir berlaku.
Katanya di kawasan Kinabatangan, Kampung Pengkalan Bukit Garam yang berhampiran dengan Sungai Kinabatangan merupakan antara kampung yang terjejas teruk setiap kali banjir berlaku.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kehidupan mereka namun boleh mendatangkan bahaya sekiranya banjir besar berlaku.
“Sebelum ini saya telah menyarankan agar penempatan baharu perlu diwujudkan bagi menempatkan penduduk di kawasan ini, bagaimanapun ianya tidak mendapat maklum balas yang positif dari mereka,” katanya ketika ditemui selepas selepas menyampaikan bantuan banjir kepada 50 orang ketua isi rumah di kampung Pengkalan Bukit Garam dan Muhibah Tengah kelmarin.
Dalam kejadian banjir yang berlaku di Pengkalan Bukit Garam itu, seramai 5 keluarga ditempatkan di Balai Raya kampung berkenaan susulan rumah kediaman mereka ditenggalami air, bagaimanapun keadaan banjir ketika ini semakin surut
Menurut Bung yang juga Ahli Dewan Undangan negeri kawasan Lamag , beliau sebelum ini telah mengemukakan cadangan untuk menempatkan penduduk di kawasan Pengkalan Bukit Garam ke kawasan baharu dan kawasan tapak telah pun dikenal pasti bagaimanapun cadangan itu tidak mendapat maklum balas yang positif dari penduduk menyebabkan ia tergendala.
“Saya akan ulangi saranan ini dan berharap pejabat daerah dapat mengenal pasti kawasan yang sesuai dan selamat bagi penempatan semula penduduk yang terlibat dan berharap kerajaan dapat mencari kaedah dan pendekatan yang sesuai agar cadangan ini dapat direalisasikan agar penduduk di kawasan ini tidak akan berterusan terjejas apabila banjir berlaku terutamanya dari aspek keselamatan,” katanya
Sehubungan itu, Bung yang juga Ketua Umno Bahagian Kinabatangan berharap pejabat daerah dapat membuat kajian terlebih dahulu tentang lokasi baharu sebelum mengemukakan laporan kepada pihak atasan
Selepas majlis penyerahan sumbangan tersebut, Bung bersama rombongan bergegas ke Kampung Kasih Sayang Bukit Garam bagi menziarahi bekas kakitangan beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kinabatangan Nurkasmin Khoo yang menghadapi masalah kesihatan.