KOTA KINABALU: Sebanyak 500 bakul makanan telah diagih-agihkan kepada kakitangan Kementerian Pembangunan Insfrastruktur khususnya pekerja B40 yang terpaksa bertugas dan terkesan dengan penularan pandemik Covid-19 dan PKPB.
Sumbangan tersebut diberikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin khususnya untuk meringankan bebanan kakitangan B40 dalam mendepani dugaan berhadapan dengan penularan Covid-19 dan bertugas mengikut giliran semasa PKPB dikuat kuasakan.
Majlis penyampaian sumbangan tersebut dilakukan oleh Setiausaha Perhubungan Awam Menteri JKR Alfian Sambas yang turut dihadiri oleh Setiausaha Politik Menteri JKR Dr. Fadilah Sarbi di Dewan Serbaguna JKR Sembulan kemarin.
Menurut Bung dengan sedikit sumbangan tersebut diharapkan dapat membantu meringankan bebanan mereka yang berkenaan.
” Kita menghargai komitmen mereka yang terpaksa bertugas walau dalam cabaran berhadapan dengan pandemik ini dan PKPB yang dikuat kuasakan oleh kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu Bung yang juga Adun kawasan Lamag mengingatkan para perkerja kementerian itu agar sentiasa mengamalkan SOP ketika mereka menjalankan tugas .
“SOP perlu diutamakan semasa bertugas, ini termasuklah sentiasa memakai pelitup muka, membasuh tangan dan sentiasa menjaga kebersihan,”katanya.