Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Pentadbiran di peringkat daerah diingatkan supaya menyediakan pangkalan data yang lengkap berkaitan potfolio daerah masing-masing bagi memudahkan proses pembangunan dilaksanakan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, setiap daerah perlu menyenaraikan projek-projek pembangunan yang sedang dan akan dilakasanakan selain data penduduk di setiap kampung berkenaan.
“Dengan adanya bank data memudahkan kerajaan merancang serta melaksanakan projek-projek pembangunan mengikut keutamaan serta keperluan penduduk setempat dan ini juga penting agar tidak ada pertindihan peruntukan dari kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Umno bahagian Tenom di dewan Masyarakat Datuk Seri Panglima Antanom baru-baru ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Umno Sabah Datuk Yakub Khan, Setiausaha Umno Sabah Datuk Jafry Arifin, Ketua Penerangan yang juga Ketua Umno bahagian Tenom Datuk Raime Unggi .
Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya pangkalan data itu penting bagi mengenal pasti projek-projek pembangunan yang sedia ada di setiap daerah terutamanya bagi kes-kes kerosakan jalan raya, jambatan dan parit yang sering dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Kerja Raya walaupun ia dibina dan dilaksanakan melalui peruntukan dari agensi lain seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan pihak berkuasa tempatan.
“Bila ada data kita dapat mengenal pasti dan menyampaikan maklumat cepat kepada agensi yang berkaitan untuk memperbaikinya,” kata beliau.
Tambah beliau, pegawai daerah juga perlu tahu jumlah rumah dan penduduk di setiap kampung di daerah masing-masing di mana ini akan memudahkan proses menyalurkan peruntukan dan bantuan selaras dengan keperluan masyarakat akar umbi.
“Data ini penting agar tidak ada penduduk terlepas dari bantuan dan pembangunan insfrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik.”
” Kita (kerajaan ) mahu memastikan kemudahan prasarana masyarakat luar bandar terus diberi perhatian agar keseimbangan dalam pembangunan dapat diwujudkan supaya tidak ada masyarakat terpinggir dari menikmati pembangunan,” katanya
Sehubungan dengan itu Bung turut menyarankan agar pentadbiran di peringkat daerah beralih kepada sistem digital bagi membolehkan langkah penjimatan kewangan dalam sistem urus tadbir daerah dapat dilakukan.
“Pegawai-pegawai daerah perlu sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan kordinasi dalam sistem pentadbiran daerah dapat diwujudkan.
”Sekiranya struktur yang ada dalam sistem pentadbiran tidak dapat dikordinasi dengan baik, ia akan menyebabkan berlakunya kelewatan pembangunan dan ketirisan kewangan,”ujarnya.