BEAUFORT: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) supaya kerap melakukan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan projek di setiap loji yang terlibat dapat disiapkan mengikut jadual.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya ketika membuat gesaan itu berkata JANS perlu bertindak demikian bagi memastikan kerja-kerja pembinaan berjalan dengan lancar memandangkan sebahagiannya mengalami sedikit kelewatan.
Bung pada Jumaat telah membuat lawatan kerja ke Kuala Penyu, Beaufort, Membakut dan Bongawan bagi mendapatkan status terkini dan melihat sendiri perkembangan projek-projek di loji terlibat sekali gus mengenal pasti sebarang masalah untuk ditangani segera.
Lawatan itu turut disertai dua Pembantu Menterinya, Datuk Limus Jury dan Datuk Robert Tawik serta Pengarah JANS, Edward Lingkapo dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid.
Justeru Bung, mahu sebarang projek di loji terlibat disiapkan mengikut tempoh yang diberikan bagi memastikan ia dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada pengguna untuk aktiviti harian tetapi juga pengusaha dalam sektor perniagaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Bung turut meminta JANS untuk menghantar bekalan air ke kampung-kampung serta rumah-rumah penduduk kampung yang terjejas dengan bekalan tersebut memandangkan sebahagian kampung masih belum mendapat akses kepada kemudahan berkenaan.
“Kita menjangkakan penggunaan air akan meningkat berikutan suhu yang sedikit panas dalam beberapa bulan ini. Justeru saya mahu kerja-kerja pembinaan dapat disiapkan secepatnya mengikut jadual bagi memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan itu.
“Untuk kampung-kampung yang terjejas, saya telah meminta JANS untuk menghantar bekalan air ke kawasan terlibat (rumah-rumah penduduk kampung) agar dapat memudahkan rutin harian mereka, ” katanya.