Bung Gesa Ahli Umno Bangkit Perkukuh Parti

Bung-5.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sambutan ulang tahun ke-76 UMNO yang disambut hari ini (11 Mei) memberi terjemahan untuk parti dan ahli bangkit kembali setelah melalui pelbagai ranjau cabaran khususnya ketika parti kehilangan kuasa selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-76 ini, ahli-ahli di seluruh peringkat perlu menanamkan iltizam untuk memperkukuhkan parti terutamanya untuk menghadapi PRU ke-15.

Katanya,UMNO akan kembali bangkit semula untuk mentadbir negara walaupun kini telah melalui ranjau perjalanan yang sukar selepas kekalahan dalam PRU ke-14.

Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada rekod mentadbir negara sebelum ini, selain prestasi cemerlang yang dicapai oleh UMNO dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Masa akan kembali menyebelahi kepada UMNO. Masyarakat ingin kembali menyokong UMNO. Sebagai parti tertua yang mentadbir negara selama 76 tahun, rekod kecemerlangan UMNO mengemudi negara tidak dapat dinafikan lagi, sehingga rakyat percaya kestabilan hanya dapat dinikmati dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan ini dibuktikan dalam dua siri PRN Melaka dan Johor,” katanya dalam perutusan beliau sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-76 hari ini.

Sehubungan dengan itu Ketua UMNO bahagian Kinabatangan itu turut meminta pemimpin dan ahli UMNO agar meneruskan perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air serta memayungi seluruh masyarakat negara ini.

Mengenai UMNO di Sabah Bung berkata, anak bungsu UMNO yang kini mencapai usia 31 tahun bertapak di Sabah memberi gambaran jelas parti itu masih relevan di hati rakyat.

Menurut beliau walaupun berlaku ‘tsunami’ politik selepas PRU-14 di negeri ini, UMNO masih kekal utuh tanpa satu pun UMNO bahagian dibubarkan.

“Ada yang tersasar perjuangan bersama UMNO selepas PRU ke-14 namun menginsafi tersalah jalan dan ingin kembali bersama UMNO dan sebagai parti yang mengamalkan pintu ‘terbuka’ ketika bersedia menerima mereka kembali mengikut peraturan yang sedia ada,” katanya.

Tambahnya semenjak UMNO  dan BN bertapak di Sabah banyak perubahan dari aspek pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat di negeri ini.

Sambil mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-67 UMNO kepada seluruh ahli UMNO, Bung berharap sambutan kali ini akan menjadi titik tolak untuk pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat untuk bangkit memperkasakan parti menghadapi PRU ke-15.

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top