Bung diingatkan dia juga pernah jadi TKM Sabah

armizan.jpg

Armizan (Gambar fail. Kredit foto: BERNAMA)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali mengingatkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa beliau sendiri (Bung) pernah menjadi Menteri dan Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Oleh itu, kata Armizan, tidaklah wajar Bung Moktar hanya menuding jari dan menyalahkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang didakwa kononnya gagal menyelesaikan banyak isu di negeri ini.

Armizan berkata, rata-rata pemimpin di Sabah adalah orang-orang lama dan pemain lama politik Sabah, oleh itu jika satu jari menunjuk kepada pihak lain, empat lagi akan menghala ke diri sendiri.

“Setiap pemimpin akan dinilai berdasarkan rekod prestasi mereka, masing-masing pernah jadi Menteri, Timbalan Ketua Menteri dan berpuluh tahun menjadi ahli Parlimen.

“Kita tuding jari kepada orang tak selesaikan isu, jangan lupa bahawa kita juga pernah berada dalam pentadbiran kerajaan tersebut,” katanya pada sidang media di Putrajaya semalam.

Sebelum ini, Bung menyifatkan kerajaan GRS pimpinan Hajiji sebagai ‘kerajaan pengumuman’ kerana hanya banyak membuat pengumuman, berbanding menyelesaikan isu rakyat.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, kepimpinan GRS mempunyai perancangan untuk melakukan pelbagai penambah baikkan ketika ini.

“Saya fikir rakyat kita termasuk orang Sabah cukup bijak menilai bukan sahaja berdasarkan kata-kata tapi juga prestasi kerja.

“Yang penting bagi saya adalah kita mempunyai perancangan yang kita menggerakkan usaha penambahbaikan. Ini yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan GRS pada hari ini,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top