PITAS: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan agar setiap daerah di negeri ini mempunyai kolam takungan airnya sendiri sebagai alternatif tempat menyimpan air untuk digunakan apabila berlaku gangguan bekalan terutama ketika berlakunya banjir atau kemarau.
Untuk itu Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah meminta semua pegawai daerah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh beberapa agensi seperti Jabatan Air,Jabatan Kerja Raya, Jabatan Parit dan Saliran Jabatan, Jabatan Mineral dan Geosains serta lain-lain agensi berkaitan bagi membincangkan pelan cadangan dan tindakan di samping mencari tapak yang sesuai.
“Cadangan dan laporan terperinci yang disyorkan oleh jawatankuasa berkenaan akan memudahkan pihak kerajaan mengambil tindakan susulan dan menyediakan peruntukan untuk melaksanakan projek ini,” katanya ketika ditemui selepas mendengar taklimat dari Jurutera Daerah JKR Pitas Lim Dixon Amando mengenai kerosakan-kerosakan yang melibatkan jalan-jalan, jambatan dan paip-paip air ekoran banjir yang berlaku di daerah itu baru-baru ini di bilik mesyuarat JKR Pitas.
Turut hadir Pembantu Menteri JKR Datuk Limus Jury, Adun Bengkako Harun Durabi dan Pegawai Daerah Pitas Haji Bakri Haji Nanun.
Menurut Bung, timbul masalah bekalan air bersih di beberapa daerah di Sabah apabila berlaku musim banjir ekoran air sungai tidak dapat disedut disebabkan air keruh,dengan kadar keruhan ( NUT) yang tinggi menyebabkan ia tidak boleh diproses atau disebabkan alat muka suak dipenuhi sampah dan lumpur.
“Selama ini kita sedut air dari sungai terus ke rumah pam untuk diproses dan apabila masalah di atas timbul dengan stok bekalan air di loji terhad, kita terpaksa mengambil masa berminggu malah berbulan baru dapat membekalkan air bersih kepada pengguna,” katanya.

Bung (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama kakitangan JKR ,pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat selepas taklimat tersebut
Tambah Bung sekiranya ada kolam penyimpan air,ia boleh digunakan untuk membekalkan air bersih kepada pengguna sebagai alternatf.
“Setakat ini hanya tiga daerah sahaja di negeri ini mempunyai kolam takungan iaitu di Telibong Tamparuli, di Milau Kudat dan di Sagaliud, juga di Kudat sementara daerah-daerah lain hanya bergantung pada bekalan dari rumah pam yang disedut terus dari sungai,” jelas Bung.
Dalam perkembangan lain Bung meneliti setiap laporan keroskan jalan,jambatan dan paip air yang terjejas di daerah Pitas ekoran masalah banjir yang berlaku baru-baru ini dan meminta Jurutera Daerah mengambil tindakan segara dengan mendahulukan masalah yang terlalu kritikal sehingga menjejaskan sistem perhubungan masyarakat di kawasan tersebut.