KOTA KINABALU: Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan pendekatan kerajaan kepada kerajaan (G2G) antara Malaysia dan Filipina dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada usaha menyelesaikan tuntutan Sulu ke atas Sabah.
Bung Moktar berpendapat walaupun usaha itu sukar kerana pendirian Filipina yang tidak mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia, langkah awal untuk menyelesaikan isu itu perlu diambil.
Beliau berkata, isu yang sudah lama berlarutan itu perlu diselaraskan antara kerajaan Malaysia dan Filipina bagi mencari penyelesaian muktamad demi hubungan diplomatik yang baik antara kedua-dua negara.
“Mungkin isu ini perlu diselaraskan antara kerajaan tetapi sehingga kini Filipina tidak pernah mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia. Apabila pilihan raya diadakan di negara itu, isu Sabah masih menjadi topik utama kempen atau perbincangan mereka.
“Jadi, ini memang isu yang sukar tetapi perlu ada usaha untuk menyelesaikannya,” katanya dalam temu bual dengan portal berita ketika ditanya pendapatnya mengenai apa yang perlu dilakukan untuk menangani isu tuntutan Sulu.
Berhubung keselamatan berikutan isu tuntutan itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata beliau yakin dengan kemampuan pasukan keselamatan negara mempertahankan sempadan dan kedaulatan Sabah.
Beliau berkata pencerobohan seperti yang dilakukan pengganas Sulu dalam kejadian di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 boleh berlaku lagi tetapi menegaskan pasukan keselamatan negara kini lebih bersedia menghadapi sebarang ancaman.
“Saya yakin pihak penguatkuasa, tentera dan agensi lain bersedia untuk mempertahankan setiap inci sempadan Sabah. Saya yakin perkara ini kerana sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, saya sendiri sentiasa berhubung dengan agensi berkaitan seperti Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) berhubung pemantauan keselamatan,” katanya.
Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, menambah beliau sentiasa membangkitkan isu tuntutan Sulu pada setiap persidangan Dewan Rakyat.
Menurutnya pendirian Filipina yang menganggap Sabah sebagai sebahagian daripada wilayahnya adalah bertentangan dengan pendirian rakyat Sabah yang memilih Malaysia ketika Suruhanjaya Cobbold mengadakan referendum di negeri itu sebelum pembentukan Malaysia pada 1963.
“Filipina tidak membuka konsul jeneral mereka di Sabah kerana bagi mereka Sabah adalah sebahagian daripadanya. Tetapi Suruhanjaya Cobbold mengesahkan bahawa rakyat Sabah memilih untuk membentuk Malaysia,” katanya.
Beliau berkata kedudukan Sabah di Malaysia tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak, dan kerajaan juga mengesahkan akan memastikan Sabah kekal di Malaysia. – The Borneo Post