KIMANIS: Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin membayangkan kemungkinan ‘ada ADUN bebas lain’ menyertai parti itu tidak lama lagi.
“InsyaAllah akan ada. Ini akan memperkukuh BN-UMNO (di Sabah) dan matlamat kita adalah untuk memperkukuh parti dan membangunkan negeri ini,” katanya.
Bung Moktar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman Timbalan Menteri Pendidikan II merangkap Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, di sini pada Ahad.
Terdahulu, beliau mengesahkan menerima permohonan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob untuk menyertai BN-UMNO.
Bung Moktar berkata permohonan itu dikemukakan oleh Yusof bulan lepas.
“Malah, secara teknikalnya, kita telah menerima kemasukannya (ke dalam UMNO) dan tinggal masa untuk rasmikan.
“Kita akan adakan mesyuarat dahulu di peringkat UMNO negeri dan kita akan menyokong kemasukan beliau ke dalam UMNO,” katanya.
Bung Moktar turut mengesahkan menerima permohonan menyertai BN daripada lapan bekas ketua penerangan Parti Warisan Sabah (WARISAN).