Bung Akan Cadang Pendekatan Baharu Atasi Isu Bekalan Air Di Sabah Dalam Mesyuarat Kabinet Esok

Bung1.jpg
Kongsi Bersama

BEAUFORT: Beberapa cadangan mengenai pendekatan baharu untuk mengatasi isu bekalan air bersih di Sabah termasuk yang dialami penduduk di daerah ini akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet negeri, esok.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pendekatan baharu perlu dilaksanakan bagi menangani sepenuhnya isu itu yang sudah lama berlarutan dan membebankan rakyat.

Katanya, pendekatan yang dilaksanakan sekarang tidak lagi sesuai dan kurang berkesan untuk mengatasi masalah bekalan air, malah menimbulkan lebih banyak masalah hingga menyebabkan rakyat marah.

“Saya sudah bincang dengan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bahawa kita perlu ada pendekatan baharu di Sabah supaya isu air tidak lagi membebani rakyat, sebab sekarang terlalu banyak masalah yang dihadapi.

“Jadi perlu ada tindakan segera daripada kerajaan yang akan kita cadang untuk memastikan rakyat mendapat bekalan air bersih yang sebaiknya. Semua ini demi kelangsungan hidup rakyat agar tidak lagi menderita disebabkan isu air.

“Saya akan bawa ke mesyuarat Kabinet (negeri) esok untuk dibentangkan kepada kerajaan. Saya akan cadangkan beberapa perkara kepada kerajaan,” katanya ditemui selepas meninjau Loji Rawatan Air  (LRA)  di kampung Jempanga Beaufort  di sini, kelmarin

Yang turut hadir ialah Pengarah JANS, Edward Lingkapo,Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Kerja Raya Harun Mahali dan jurutera air daerah Beaufort.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata antara pendekatan baharu yang akan diberi perhatian ialah pembinaan kolam takungan bagi menyimpan air mentah di setiap LRA di negeri ini.

“Dulu, sekitar 1980-an kita tidak terfikir untuk membina kolam takungan kerana pada masa itu air sungai belum lagi tercemar tetapi selepas 10 tahun atau 20 tahun kemudian, pembangunan pesat menyebabkan sungai mula tercemar.

“Seperti saya pernah kata pada Februari lalu, daripada 84 loji di seluruh negeri ketika ini, sebanyak 23 loji tidak boleh digunakan disebabkan masalah pencemaran sungai.

“Di Beaufort juga berlaku masalah ini, kita tidak terfikir untuk membina takungan sebelum ini. Jadi ini juga kita akan bincangkan,” katanya.

Sementara itu, mengenai isu bekalan air di daerah ini yang bertambah rumit sejak banjir pada bulan lalu, Bung Moktar berkata JANS ketika ini sedang berusaha membaiki kerosakan alat ganti sebuah pam di LRA Beaufort Satu yang dijangka siap dalam tempoh dua tiga hari lagi jika tiada halangan.

Katanya, jika berfungsi dengan baik, pam itu boleh menambah kapasiti pengeluaran air bersih sebanyak 10 juta liter sehari (MLD) lagi, berbanding 25 MLD yang mampu dkeluarkan ketika ini.

“Kalau pam itu dapat dibaiki, ia boleh meringankan masalah yang dihadapi penduduk daerah ini. Tapi, jika pam ini tidak dapat dibaiki segera, mungkin suasana (kekurangan bekalan) yang dialami sekarang kekal begini,” katanya.

Selain itu, katanya JANS juga sudah menempah sebuah pam baharu yang rosak akibat timbunan lumpur dan pasir ketika banjir sebelum ini, namun prosesnya memerlukan masa agak lama, sekurang-kurangnya dua minggu.

Dalam pada itu tambah Bung bantuan air ke kampung-kampung terjejas akan diteruskan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top